Rabu, 6 Januari 2010

Perketat Mana Yang Patut- Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang disiasat Jawatankuasa Disiplin Pas Pusat minta supaya disegerakan keputusan siasatan ke atas diri beliau supaya tumpuan boleh diberikan kepada pilihanraya akan datang. PJ Pas Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Hasan Ali turut disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man.

Semasa siasatan dijalankan timbul isu Dr Hasan Ali jumpa dengan blogger-blogger termasuk blogger Umno dan mendedahkan beberapa perkara yang jadi kontroversi termasuk isu Bai'ah dalam Pas Selangor. Dalam perjumpaan tersebut turut hadir ialah Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa .Kata Khalid Samad dalam blog beliau;

Saya menerima surat tunjuk sebab dari jawatan kuasa disiplin hasil dari aduan yang dibuat oleh Dewan Harian PAS Selangor terhadap diri saya. Saya telah menjawab surat berkenaan dan meminta supaya diberi peluang bertemu untuk menjelaskan isu-isu yang ditimbulkan dengan lebih lanjut lagi. Maklumlah, apa sangat yang boleh diceritakan melalui surat. Pada masa yang sama, saya telah menjelaskan bahawa insyaAllah dari 8 ke 11 saya akan ke Kuching, Sarawak dan dari 25 Januari ke 12 Februari saya akan berada di Timur Tengah. Oleh itu saya telah dipanggil untuk mengadap pada 7 Januari.

Dalam pertemuan berkenaan saya bercadang untuk menjelaskan sebab mengapa saya telah melakukan apa yang telah saya lakukan dan mengapa tindakan saya adalah wajar demi menjaga imej PAS sebagai sebuah parti Islam yang jujur dalam persahabatannya.

Semoga persoalan ini ditangani dengan segera, dibetulkan apa yang perlu dibetulkan, diketatkan apa yang perlu diketatkan dan dilonggarkan apa yang sepatutnya longgar dan seterusnya kita semua boleh beri tumpuan kepada persoalan menjatuhkan BN dalam PRU ke-13.Baca di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan