Lapor Malaysian Insider:
Bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abas berkata, ahli-ahli politik termasuk anggota jemaah menteri dari Umno, yang tidak mahir tentang undang-undang pembangunan petroleum tidak wajar memperkudakan isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri dan pusat khususnya dalam tuntutan Kelantan sekarang.
Oleh itu tegas beliau, dari segi undang-undang, rakyat kini seolah-olah dikelirukan oleh ahli-ahli politik yang berfikiran sempit tentang selok-belok perundangan dalam isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dan Terengganu.
“Persoalan yang ada di hadapan kita semua sekarang ialah berkaitan hak sesebuah negeri dalam menuntut royalti dari Petronas, bukannya dari kerajaan pusat.
“Saya amat berharap kepada Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Pengerusi Petronas akan membuat penjelasan yang sebaik mungkin demi kebaikan rakyat terhadap hak sebenar dalam menuntut royalti minyak ini,” katanya.
Tengku Razaleigh dijadual memberi penerangan berhubung perkara berkaitan itu di Stadium Sultan Mohd IV di Kota Baru pada 28 Jan ini.
Ditanya beberapa kerat pemimpin Umno Kelantan cuba menjadi hero menafikan hak itu, Saleh berkata, “itulah sifat rakyat yang cuba derhaka pada negeri sendiri.”
Menurutnya situasi begitu tidak menjadi satu perkara yang menghairankan jika tentangan itu datangnya daripada rakyat negeri lain.
“Kalau itu boleh dikira sebagai hasad dengki tetapi kalau dari rakyat negeri sendiri, susahlah nak kata apa pada mereka ini,” ujarnya.
“Orang ramai mesti faham perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan, bukanya dari kerajaan pusat.
“Kerajaan pusat juga mendapat royalti dari Petronas,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya di sini.Baca lanjut di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan