Jumaat, 22 Januari 2010

Isu God Bukan Allah: Siapa Yang Berbohong?

Mana satu yang betul ? Harakah daily melaporkan bahawa Presiden Pas berkata tidak ada sebarang keputusan dalam muzakarah anjuran IKIM dalam isu kalimah Allah seperti yang didakwa Utusan Malaysia.

Lapor Harakahdaily;

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar arus perdana bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.Baca di sini

Sementara Utusan Malaysia melaporkan;
Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada 'God' tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia.

''Hasil keputusan Muzakarah Pakar ini akan diserahkan secepat mungkin kepada kerajaan untuk tindakan lanjut,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri muzakarah tersebut di IKIM di sini hari ini.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Nik Mustapha Nik Hassan itu disertai oleh tujuh ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Kamar Ainiah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin,

Panel lain ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd. Nur Manuty; bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Dr. Mohd. Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM, Md. Asham Ahmad.Baca di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan