Selasa, 6 Oktober 2009

Manifesto Calon Pakatan Rakyat N.31 Bagan Pinang

Berikut adalah manifesto Calon Pas dan Pakatan Rakyat seperti apa yang terdapat dalam prkn31baganpinang.pas.org.my

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada pihak media kerana melaporkan dengan adil aktiviti saya, PAS dan Pakatan Rakyat sehingga petang ini.
2. Kesempatan ini, ingin saya sebutkan beberapa fokus kempen saya serta agenda kesejahteraan yang ingin saya tawarkan kepada pengundi N31 Bagan Pinang.

3. Ikhlas saya katakan bahawa di Port Dickson, khususnya di Dun Bagan Pinang ini terdapat banyak isu malar segar yang perlu ditangani bersama. Daripada 13 permasalahan yang dekat dengan rakyat, umumnya rakyat mahu isu penaiktarafan jalan utama dari Telok Kemang ke Pasir Panjang segera diselesaikan. Kedua, rakyat mahu masalah perparitan yang menjadi punca utama banjir kilat, pembiakan lalat serta nyamuk segera diselesaikan. Ketiga dan terakhir, rakyat mahu isu alam sekitar yang melibatkan Pantai Port Dickson kerana dengan berbuat demikian, bukan sahaja menggamit semula kehadiran pelancong malah menjana ekonomi setempat.


4. Ikhlas saya katakan, kemenangan saya tidak akan mengubah lanskap kuasa kerajaan negeri. Tetapi, kemenangan ini akan membawa satu lagi ‘kehendak rakyat’ ke Dewan Undangan Negeri. Pakatan tambah satu kerusi Adun lagi, menjadikan 16 keseluruhannya. Umno tinggal 18 kerusi sahaja. Beza kerusi kita (Pakatan) dan BN hanya 2 kerusi sahaja. Semoga inilah yang dikatakan bersama kehendak rakyat.



5. Tahun lepas, Datuk Shaziman Abu Mansor kata di Parlimen, tiada peruntukan untuk membaiki jalan di sini. Sedangkan tanggungjawab membina jalan sebenarnya di dalam Senarai Persekutuan (Federal List). Jadi, Umno tidak perlulah memperbodohkan rakyat dengan kempen adakah saya mampu memperbaiki jalan jika saya menang. Sedangkan jika Tan Sri Mohd Isa Samad menang sekalipun, itu bukan tanggungjawabnya untuk membina jalan. Maka, saya akan senantiasa membawa isu penaiktarafan jalan ini di Dun kelak, di samping membantu Ahli Parlimen Telok Kemang membawa isu ini di Parlimen. Sama ada jalan siap dulu, atau Umno tumbang di Negeri Sembilan, biarlah rakyat terus membuat perhitungan.



6. Begitu juga dalam isu perparitan, Port Dickson dikenali khalayak tempatan sebagai Bandar Pembiakan Lalat, Banjir Kilat dan beberapa lagi. Akar masalah pada segala permasalahan kedua ini adalah sistem perparitan yang tidak efisyensi. Pembiakan lalat adalah natijah pada masalah perparitan. Bau busuk juga adalah natijah pada masalah perparitan. Banjir kilat yang berlaku setiap kali musim hujan juga adalah natijah pada masalah perparitan. Selesaikan akan masalah, bermakna selesailah segala natijah/masalah berantai tersebut. Selesaikan masalah perparitan, insyaAllah selesailah segala yang membelenggu rakyat hampir sedekad ini.



7. Saya yakin rakyat tempatan tahu tentang privasi pantai awam oleh segelintir pemimpin Umno bersama-sama pihak tertentu. Saya yakin, rakyat tempatan semuanya tahu isu masalah sampah-sarap ini berpunca oleh sistem pengangkutan sampah oleh syarikat SWM. InsyaAllah, pengalaman menjadi sukarelawan dan aktivis alam sekitar dan kemasyarakatan, menjadi pengerusi ‘No Incinerator Broga’; saya sedia mengetengahkan idea-idea yang lebih progresif demi kepentingan rakyat.



8. Dalam maksud yang lebih mudah, manifesto saya untuk rakyat adalah memperjuangkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat khususnya di Telok Kemang. Jadikan Adun Bagan Pinang sebagai satu lagi suara pendesak di Dewan Undangan Negeri (DUN), agent semak dan imbang terhadap projek-projek terbekangkalai serta urus tadbir kerajaan negeri yang dilihat pincang dan pembaziran oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional.


BERSAMA KEHENDAK RAKYAT

Zulkefly Mohamad Omar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan