Selasa, 24 November 2009

Tender Murah Tak Dapat, Tender Mahal Dapat

Berikut petikan Ucapan Mahfuz di Parlimen bertarikh 23-11-09. Pendedahan salah guna kuasa Umno-Bn yang melampau dan suka perabih wang rakyat untuk kroni mereka. Aku copy daripada blog penarik beca tanpa izin;

Akhir sekali, Tuan Pengerusi, ialah 120000 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Pelancaran SUBUR ini yang dibuat sempena dengan Program Ekspo Mini MAHA Road Show 2009, Sungai Besar Selangor pada 6 dan 8 September. Pertama, saya hendak mendapatkan penjelasan dalam kita hendak membuat program ekspo, kemudian melancar Program SUBUR ini, berapa kos perbelanjaan keseluruhan pelancaran tersebut dan juga Ekspo Mini MAHA Road Show yang diadakan selama tiga hari daripada 6 sehingga 8 di Sungai Besar baru-baru ini?

Kemudian satu perkara yang saya hendak dapat penjelasan daripada pihak kerajaan, apabila kerajaan, kementerian melalui FAMA akan mengadakan program mini ekspo ini, kerajaan telah pun mengeluarkan tender. Ini ada borang dan syarat-syarat tender kepada saya. Tender khususnya bagi pemasangan khemah Arabian canopy sebanyak 77 khemah dan satu pentas. Satu pentas untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga VVIP yang lain dalam majlis perasmian ataupun majlis pelancaran.

Saya telah difahamkan bahawa sepatutnya tarikh tutup untuk menyerahkan tender untuk pemasangan khemah ini pada 2 November, tetapi isunya ialah apabila ada di kalangan mereka lebih kurang lima ataupun enam penender yang menyerahkan borang ini, apabila mereka pergi sebelum 2 hari bulan, tiba-tiba 31 hari bulan sudah pun ada khemah-khemah itu dipasang, sudah pun khemah itu dipasang, sedangkan tarikh tutupnya ialah pada 2 November. 31 hari bulan sudah pun ada khemah dipasang. Ini gambar yang ada pada saya, gambar yang bertarikh 31 hari bulan. Kerja-kerja untuk menyiapkan, menaikkan khemah-khemah Arabian canopy ini sebanyak 77 khemah.

Saya agak keliru, dia diberikan kepada Syarikat KEB Projek Sdn. Bhd, K-E-B Projek Sdn. Bhd, KEB Projek Sdn. Bhd dengan harganya RM428,000 untuk tiga hari, 77 Arabian canopy dan satu pentas besar, RM428,000, sedangkan lima ataupun enam syarikat yang lain, saya difahamkan yang masuk tender, tetapi masuk tender sebelum tarikh tutup, tetapi selepas khemah itu telah dipasang oleh Syarikat KEB Sdn. Bhd ini. Semua syarikat ini masuk, harga mereka lebih rendah daripada KEB Sdn. Bhd, termasuk ada satu syarikat yang masuk harganya lebih rendah, RM100,000 lebih rendah.

Malah saya telah bertanya baru-baru ini kepada satu syarikat di kawasan yang membuat satu ekspo dengan kerjasama portfolio belia di kawasan saya, Ekspo Belia Niaga. Mereka ini ada siap dengan khemah. Saya tanya kepada mereka kewajaran RM428,000 dengan 77 Arabian canopy. Mereka juga memiliki khemah sendiri untuk diberikan sewa dan sebagainya dengan satu pentas, RM428,000. Mereka kata kepada saya bahawa kalau itulah yang dapat kepada mereka, mereka kaya, syarikat ini dia kata. Kalau sebulan ada dua, tiga function dengan harga macam ini, mereka kata kami boleh goyang kaki tidak perlu buat ekspo-ekspo yang lain.

Jadi, saya ingin hendak mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan. Kenapa ini boleh berlaku, pertama sekali tarikh tutup 2 hari bulan, 31 sudah pasang khemah, kenapa diberikan kepada syarikat yang lebih mahal, sedangkan ada syarikat yang menawarkan sehingga RM100,000 lebih murah daripada harga-harga yang ditawarkan oleh syarikat ini.

Saya juga hendak minta supaya Audit Negara harus membuat audit selepas daripada ini, berapa sebenarnya kos pemasangan khemah untuk Arabian canopy ini. Ini supaya kita dapat melihat bahawa kos harga sebenar yang patut diperoleh oleh pihak kerajaan. Saya bimbang bahawa tahun depan juga kita akan melihat ketirisan dan kebocoran yang lebih besar berlaku ke atas perbelanjaan wang negara. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan