Khamis, 19 November 2009

"Mana Ada Wujud Perkataan Wang Ehsan"-Ku Li

Usaha menuntut hak royalti Kelantan terus konsisten dibuat bukan sahaja kerajaan negeri malah Pakatan Rakyat diperingkat pusat.

Dua ikhtiar terbaru yang diusahakan termasuklah cabaran debat terbuka yang dibuat Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan cadangan penubuhan kaukus khas parlimen mengenai royalty petroleum.

Debat royalti itu bagaimanapun telah dipersetujui oleh Nazri dan menyerahkan urusan penganjuran kepada Salahuddin.

Salahudin dalam pada itu akan melantik seorang wakil untuk berunding dengan wakil Nazri bagi membincangkan persiapan debat tersebut.

Cabaran debat tersebut diutarakan Salahudin ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat petang Selasa lalu.

Berhubung penubuhan kaukus khas pula, Pemimpin Pakatan Rakyat di parlimen semalam telah bertemu bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaliegh Hamzah bagi mencadangkan beliau mengetuai kaukus tersebut.

Mengetuai pertemuan semalam adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Penubuhan kaukus khas parlimen ini dilihat mempu mencari jalan paling munasabah untuk menyelesaikan isu tersebut.

Tengku Razaliegh atau lebih mesra dengan panggilan KU Li dalam responnya semalam berkata, beliau perlukan sedikit masa untuk meneliti cadangan tersebut

“Lagipun saya telah lama dalam bidang ini, sejak penubuhan Petronas dan terbabit dengan kerja-kerja pengurusan serta merangka peraturan dan perundangan mengenainya. Saya akan mengikuti perkembangan isu ini dan lihat sama ada saya boleh menyumbang untuk mempertahankan hak rakyat berdasarkan kepada perlembagaan,” katanya.

Ku Li adalah antara mereka yang bersetuju dengan usaha kerajaan negeri Kelantan menuntut wang royalti daripada pusat.

Beliau juga satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hanya mengumumkan Wang Ehsan untuk Kelantan

“Mana ada wujud perkataan Wang Ehsan? Saya rasa ia jelas dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan negeri-negeri di mana minyak ditemui, bahawa di mana minyak ditemui, tidak kira sama di daratan atau lautan, rakyat berhak mendapat royalti dan bukan ehsan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa usaha telah digerakkan oleh kerajaan negeri Kelantan termasuk menghantar surat kedua kepada Najib supaya memberikan royalti kepada rakyat negeri, bukan wang ehsan.

Selain itu, mereka juga akan melantik panel peguam bagi menuntut perkara tersebut melalui saluran perundangan yang ada.

Terbaru, kerajan negeri Kelantan juga akan menjemput Ku Li bagi menjelaskan kedudukan sebenar kepada rakyat negeri itu berhubung perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan