Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang menyifatkan perbuatan pihak yang tidak diketahui menyimbah rumahnya di Taman Lumba Kuda di sini dengan cat awal pagi ini sebagai semata-mata mahu mencemar dan memalukannya.
"Saya tidak tahu apa motif mereka buat begini. Nak kata berhutang, saya bukan ahli perniagaan. Sebagai ahli politik sepenuh masa tidak mungkin saya pinjam dengan ah long.
"Jadi saya anggap orang yang melakukan perbuatan ini sebagai pengecut," kata Datuk Syed Sobri Syed Hashim kepada pemberita Khamis.
Beliau yang juga Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi selepas isterinya, Datin Zakiah Salahuddin yang pulang dari pasar ternampak tompokan merah di tembok depan rumah mereka.
Katanya apabila diperiksa didapati cat merah yang disimbah di empat penjuru rumahnya masih baru.
"Saya dapati modus operandi menyimbah cat ini adalah seperti perbuatan ah long. Oleh itu saya membuat laporan polis supaya ia dapat disiasat. Satu tong cat yang dilemparkan ke tembok rumah saya turut diambil polis," katanya.
Syed Sobri turut meminta pihak yang tidak berpuas hati dengannya supaya membuat laporan polis atau membawa perkara itu ke mahkamah.
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan