“Kalau dia (BN) rasakan betul terhadap apa yang dipertahankan itu (wang ihsan) kenapa takut sangat? Berapa kali dah kita sebut wajarnya pertikaian itu dibincang dalam satu sesi debat.
“Rakyat ingin tahu kedudukan sebenar perkara ini. Sekurang-kurangnya segala kesulitan dan kekeliruan yang berbangkit dapat dirungkai secara terbuka. Kalau duk main cakap seorang diri begitu bermakna politik namanya,” katanya.
Exco Kerajaan Kelantan itu berkata beliau bersedia untuk menerima hakikat jika pendiriannya dalam mempertahankan tuntutan royalti minyak dipatahkan.
“Biar tentu orang bercakap Husam ‘mapuh’ (tersungkur) dalam debat royalti.
“Tak ada guna menyalak atau berhujah seorang diri begitu.
“Apatah lagi dengan menggunakan seluruh ruang media menafikan hak rakyat,” kata beliau ketika menyampaikan ceramah umum di pekan Jelawat malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas program Ceramah Perdana Royalti Minyak, Antara Politik atau Hakikat anjuran majlis NGO Kelantan yang diadakan Jumaat lepas dan iklan penjelasan isu tersebut yang disiarkan melalui surat khabar.
Melalui ceramah berkenaan Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengulangi pendirian kerajaan persekutuan bahawa Kelantan hanya berhak kepada wang ihsan bukannya royalti.
Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.
Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Sehubungan itu Husam mencabar pemimpin pusat terbabit sama ada Mustapa atau timbalannya Datuk Dr Awang Adek Husein mendedahkan kandungan undang-undang berkaitan kepada rakyat secara jujur.
“Jangan berterusan menipu rakyat dengan mempolitikkan undang-undang.
“Kalau betul tidak ada royalti, persoalannya kenapa wang ihsan sebanyak RM20 juta itu dikaitkan dengan hasil pengeluaran gas di bumi selatan iaitu kawasan PM301, bahkan kadarnya pun sama iaitu lima peratus,” katanya.
Mengulas lanjut cabaran agar kerajaan negeri membawa isu tersebut ke mahkamah, Husam tidak menolak kemungkinan itu.
“Sekiranya kesulitan ini berterusan, selepas tidak ada jalan keluar lagi kata orang, sudah semestinya kita akan bawa juga kes ini ke mahkamah dengan kaedah-kaedah tertentu.
“Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas akan mengadakan satu sesi taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan 28 Feb ini berhubung perkara berkaitan.
“Selepas itu kita akan fikir apa pelan seterusnya perlu kita lakukan. Yang pasti kerajaan akan terus perjuangkan hak rakyat sampai berjaya,” ujarnya.
Malaysian Insider(Mohd Zuharman)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan