Khamis, 11 Februari 2010

P.Bala tolak ambil keterangan oleh SPRM di Kedutaan Malaysia di Singapura

Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang dianggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai saksi utama bagi pihaknya dalam siasatan berkaitan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, menolak syarat agar dia diambil keterangan di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Mereka (SPRM) mahu mengadakan sesi temu bual (ambil keterangan) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, tetapi kami tidak bersetuju,” kata peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sebab permintaan itu ditolak tetapi difahamkan atas faktor keselamatan tidak mahu dikompromi, yang merupakan salah satu syarat dikenakan detektif tersebut.

Selain itu kata Americk, SPRM juga mahu mengklasifikasikan segala koresponden mereka sebagai “rahsia” di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Syarat itu juga ditolak, kata beliau sambil menambah pihaknya masih menunggu maklum balas daripada SPRM.

“Mereka juga mahu mengklasifikasikan kesemua koresponden kami sebagai rahsia di bawah OSA, yang mana kami tidak bersetuju, jadi saya tidak boleh berkata lebih daripada itu sehingga kami memperoleh maklum balas kepada surat tidak setuju kami kepada syarat-syarat yang dikenakan ke atas kami,” kata beliau.-Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan