Berikut apa yang dilaporkan oleh malaysiakini dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam semalam berkaitan isu Melayu yang ditimbulkan oleh para pemidato daripada Pas dan juga Dap.
Isu melibatkan kedudukan orang Melayu turut mendapat perhatian, antaranya apabila diulas pemidato PAS, Salahuddin Ayub yang berkata Pakatan juga tidak akan mengambil pendekatan sama seperti Umno dan BN dalam mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu yang dimaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan.
"Kita seru kepada rakan-rakan kita supaya jangan takut dengan Perkara 153 kerana ini adalah untuk memberi (bantuan) kepada golongan yang berhak.
'Kami tak cemburu'
"Perkara 153 sebelum ini dicabul oleh Umno dan BN untuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka," kata Salahuddin yang juga naib presiden PAS.
Tambahnya, Pakatan akan menyemak semula akta-akta melibatkan institusi penting bagi orang Melayu, termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan juga Tabung Haji.
Ketua pergerakan sosialis pemuda DAP, Anthony Loke pula berkata isu melibatkan kepentingan Melayu tidak lagi akan dipersoalkan oleh pergerakan itu, selagi tidak mencabuli hak bagi mereka yang sepatutnya.
"Tuan-tuan tidak perlu risau kerana DAP akan tetap memperjuangkan kepentingan Melayu," katanya, mengulas janji Pakatan untuk sentiasa memelihara kedudukan Istimewa orang Melayu, sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang didukung itu.
"Kita tidak akan cemburu sedikitpun kalau ada orang Melayu yang miskin yang dapat biasiswa ke universiti.
"Namun apa yang kami tentang adalah anak-anak ketua-ketua bahagian Umno, kontraktor-kontraktor Kelas A yang kaya raya tetapi masih mahu membolot biasiswa," katanya lagi.
malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan