KUALA LUMPUR, Dis 15 — Bajet 2010, belanjawan sulung yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas dilantik sebagai Perdana Menteri April lalu, diluluskan dengan perbezaan undi amat tipis oleh Dewan Rakyat lewat malam tadi.
Bacaan kali ketiga diluluskan dengan 66 menyokong manakala 63 menolak — menjadi ujian kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Difahamkan ini kali pertama satu bajet diluluskan dengan perbezaan undi yang tipis, di mana jika ditolak boleh membawa implikasi negatif terhadap kerajaan pimpinan BN.
Pembangkang menganggap ia sebagai satu "kejayaan besar" buat PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga dikatakan hampir 'berjaya' untuk menumbangkan kerajaan BN.
The Malaysian Insider difahamkan pemimpin tertinggi kedua-dua BN dan PR telah segera mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas wakil-wakil mereka yang tidak berada di Parlimen malam tadi.
Berdasarkan amalan kerajaan demokratik, jika bajet tidak diluluskan ia boleh dianggap sebagai keputusan undi tidak percaya terhadap kerajaan semasa, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan yang baru.
Sebelum undian bacaan kali ketiga berlangsung, bajet itu diluluskan dengan perbezaan satu undi ketika ia melibatkan perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri — kementerian terakhir di peringkat jawatankuasa kali ini.
Pakatan pernah mempertimbangkan pendekatan ini ketika membahaskan Bajet 2009 tahun lalu selepas usaha projek 16 September Anwar gagal.
Perkembangan itu dikatakan telah mencetuskan suasana cemas di Parlimen malam tadi sehingga Najib terpaksa bergegas ke Parlimen untuk mengambil bahagian dalam sesi pengundian.
Turut mengambil bahagian dalam undian bacaan kali ketiga ialah Najib yang dilaporkan bergegas ke Parlimen selepas berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini malam tadi.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga bergegas ke Parlimen dari lokasi majlis tersebut.
Kini, BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat manakala PR 82 manakala tiga yang lain adalah Bebas.
Dewan Rakyat ditangguhkan kira-kira 11.15 malam tadi selepas bacaan kali ketiga diluluskan.
Najib membentangkan Bajet 2010 bernilai RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyatpada 23 Oktober lalu.
Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan 1 Malaysia, Kemakmuran Bersama memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.
Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika mengulas perkembangan tersebut berkata ia menunjukkan bahawa kehadiran PR semakin dirasakan.
"Kehadiran kami dirasakan... kami telah menunjukkan satu indikator penting malam ini (malam tadi)," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS kepada The Malaysian Insider.
"Keputusan (dengan perbezaan) satu undi di peringkat jawatankuasa dan tiga undi di peringkat bacaan kali ketiga telah memberi satu keyakinan bahawa kami boleh melakukan sesuatu yang signifikan di Parlimen... bahawa PR menjadi pakatan alternatif yang serius," katanya lagi.
"Kalau mengikut amalan House of Commons, jika bajet (2010) ditolak bermakna wujudnya undi tidak percaya terhadap kerajaan semasa," katanya.
Jawatankuasa buat Kementerian Kementerian Dalam Negeri adalah yang terakhir sebelum dibacakan kali ketiga.
Difahamkan suasana cemas itu bermula sebaik sahaja selesai sesi penggulungan peringkat Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Seperti lazimnya, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan kaedah meminta suara ahli sama ada bersetuju ataupun menolak.
Memandangkan kehadiran anggota Dewan Rakyat kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang selalu tidak penuh, maka Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng mengesyorkan agar undi belah bahagian dijalankan.
Ketika syor itu diluluskan kehadiran wakil rakyat PR dilihat begitu ramai berbanding BN.
Apabila pengundian dijalankan ke atas perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri, ia diluluskan dengan 64 menyokong manakala 63 menolak.
Situasi yang sama berulang semasa pengundian bacaan kali ketiga dilangsungkan atas permintaan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran agar undi belah bahagian dijalankan.
Kali ini Bajet 2010 diluluskan dengan 66 menyokong manakala 63 menolak.
PR telah segera mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas wakil-wakil mereka yang tidak berada di Parlimen malam tadi. MAKAN ELAUN WANG RAKYAT, PONTENG PARLIMEN, CABUK PUNYA MP.
BalasPadam