Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) hari ini menubuhkan sebuah badan khas iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) bagi menuntut dan menggesa kerajaan persekutuan mengembalikan hak royalti petroleum di negeri itu.
Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata penubuhan badan itu disertai lebih 50 NGO di seluruh Kelantan dan Terengganu.
"Penubuhan Gegar ini kita wujudkan tanpa mengira fahaman politik, tidak mengira sempadan agama, bangsa mahupun parti politik yang disokong.
"Kita cuma mahu mendapatkan kembali hak royalti berasaskan kepada Akta kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut seksyen 4 Akta 1975," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata buat permulaan badan terbabit akan mengadakan konvensyen rakyat yang akan membincangkan tajuk 'Royalti Petroleum Antara Hak atau Ihsan' di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
"Konvensyen terbabit akan diadakan secara terbuka untuk semua rakyat bagi sama-sama membincangkan dan bertukar pendapat mengenai isu ini secara terbuka," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk menjemput Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai sesi konvensyen rakyat itu.-Bernama di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan