Sabtu, 19 Disember 2009

Kami Akan Setia Dalam Pakatan Rakyat-Presiden Pas

PAS, yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan usaha kerajaan perpaduan Umno-BN, berjanji akan setia dengan komponennya dalam Pakatan Rakyat, yang mengadakan konvensyen sulung hari ini.

Dalam ucapan perdananya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya mahu membuktikan bahawa mereka boleh bersepakat dalam Pakatan Rakyat.

“PAS ingin membuktikan kita boleh bersepakat, kami akan setia dalam Pakatan Rakyat sebagaimana ditekankan dalam Islam,” kata beliau.

Pendiriannya itu dilihat sebagai satu lagi jaminan PAS agar isu ia akan memihak idea kerajaan perpaduan Umno-BN dikuburkan.

Hadi menyatakan pendirian yang hampir sama ketika Muktamar PAS Jun lalu.

Malah ia menjadi aspek dibangkang oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seiring dengan Dasar Pakatan Rakyat yang dibentangkan hari ini, Hadi berkata, kaum-kaum selain orang Melayu dan penduduk pribumi tidak harus dipanggil sebagai “pendatang ataupun imigran.”

Kata beliau kewujudan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, yang terdiri daripada hampir keseluruhan orang Asia, harus digunakan sebagai satu bentuk kelebihan.

Hadi menambah jika setiap rakyat negara ini sanggup melihat “semua adalah sama” apabila berada di luar negara, tiada sebab mengapa perkara yang sama tidak diamalkan oleh semua orang.

“Semasa saya berada di Brussles dalam perjalanan ke Munich untuk mengunjungi Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya mencari arah kiblat untuk solat. Yang pergi dapatkan maklumat mana barat, mana timur ialah Gobalakrishnan (ahli majlis tertinggi PKR dan ahli Parlimen),” katanya.

Hadi juga berkata Pakatan Rakyat harus menunjukkan perpaduan dalam tindak tanduknya.

Oleh itu kata beliau Pakatan Rakyat harus melaksanakan apa yang “telah disepakati sekarang dan menangguhkan perkara yang berbeza” pendirian untuk dibincangkan kemudian.

“Yang kita bersepakat kita laksanakan dulu,” katanya.

Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan