Khamis, 10 Disember 2009

Pas teliti kes disiplin Hasan Ali minggu ini


Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Dis 10 — Jawatankuasa Disiplin dijangka meneliti kes tindakan tatatertib melibatkan dua pemimpin pusatnya dari Selangor hujung minggu ini.

Dua pemimpin berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali (gambar) dan bekas timbalannya Khalid Samad yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Mereka merupakan antara beberapa kes sedang diteliti oleh PAS buat masa sekarang berhubung tuduhan menjejaskan nama baik parti menerusi beberapa kenyataan media.

"Saya baru dua tiga hari pulang dari Mekah. Hujung minggu ini kami akan meneliti dokumen-dokumen yang telah diserahkan kepada jawatankuasa ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata beliau, selepas meneliti surat penjelasan daripada tertuduh pihaknya akan menentukan tindakan susulan sama ada memanggil tertuduh ataupun saksi-saksi lain yang berkaitan.

Ia dijangka akan disempurnakan akhir bulan ini, kata Tuan Ibrahim.

"Buat masa sekarang beberapa anggota Lembaga Disiplin berada di luar negara. Jadi tindakan susulan akan ditetapkan kemudian," kata beliau.

Hasan dan Khalid masing-masing ADUN dan Ahli Parlimen telah menjawab surat tunjuk sebab kira-kira tiga minggu lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Hasan telah menjelaskan pendiriannya dalam laporan kira-kira 20 halaman. Beliau dikatakan mempertahankan segala kenyataan tuduhan dengan merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh PAS Selangor secara kolektif.

Pada akhir bulan lalu Hasan berkata beliau sedia menemui Jawatankuasa Disiplin parti itu sekiranya surat membela diri yang diserahkan dua hari lalu gagal memuaskan hati mereka.

“Saya sudah menerima surat itu dan telah pun menjawab, dua hari yang lepas saya telah menyampaikan kepada Jawatankuasa Displin jawapan-jawapan saya kepada pertuduhan yang telah dikenakan kepada saya.

"Pada umumnya saya telah memberikan jawapan seadil-adilnya buat saya, buat ahli PAS dan buat anggota masyarakat negeri Selangor ini, saya mengharapkan saya diberikan keadilan," katanya.

Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan