Sabtu, 12 Disember 2009

Pemimpin Kerajaan Selangor Lebihkan Agenda Politik?

Lapor Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bimbang terhadap situasi semasa di negeri ini yang didapatinya meletakkan agenda politik mengatasi agenda pembangunan negeri.

Baginda bertitah perkara-perkara kecil di negeri Selangor kadangkala dihebah dan diperbesarkan sehingga melampaui batasan dan menyebabkan rakyat di negeri itu menjadi keliru.

Justeru, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu.

"Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal-soal politik.

"Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64 di Istana Alam Shah di sini pada hari Sabtu.


"Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (pada pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda.


"Beta ingin menasihatkan rakyat negeri Selangor ini, jika ada perkara yang (mereka) tidak berpuas hati, hendaklah disalurkan pendapat atau rintihan mengikut saluran-saluran yang disediakan, mengikut undang-undang bagi dibincang dan diselesaikan ke tahap yang memuaskan hati," titah baginda -Bernama

Apakah agenda politik mengatasi agenda pembangunan di Selangor itu benar? Siapakah sebenarnya menjadi punca pencetus agenda politik murahan di Selangor? Pakatan Rakyat yang memerintah atau pembangkang di Selangor?Siapakah yang tidak berpuashati dengan Kerajaan yang memerintah Selangor yang tidak ikut saluran yang sepatutnya bila berlaku kejadian Demo Kepala Lembu? Siapa?

Siapakah yang memaki hamun Menteri Besar Selangor, Exco dan Ahli Parlimen dalam sesi dialog dengan penduduk yang tak puas hati dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Di Selangor?Kerajaan Negeri yang ada sekarang mungkin ada kelemahan tapi dalam masa yang sama banyak terdapat sikap terbuka pihak kerajaan negeri untuk kenal pasti rasa tidak puas hati rakyat yang boleh menyuarakan pendapat sehingga pemimpin kerajaan negeri ditempelak dengan kata nista dan kesat macam dalam filem 'cowboy' layaknya.

Seteruk-teruk kerajaan pakatan rakyat di Selangor semua yang diharamkan oleh kerajaan dulu telah dibenarkan oleh kerajaan sekarang.Contoh paling senang Dewan Orang Ramai yang dulunya hanya boleh digunakan Umno dan gerombolannya saja, sekarang semua pertubuhan boleh guna.Mungkin apa yang dilaporkan Bernama itu berbeza daripada apa yang dititahkan Sultan Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan