'Ahli akademik Malaysia seperti 'warganegara kelas kedua'-Malaysiakini
Ahli akademik - kecewa terhadap pelanggaran hak kebebasan mereka,
khususnya penindasan terhadap Prof Abdul Aziz Bari - dengan keras
mengkritik suasana akademik di Malaysia, yang menurut mereka, membuahkan
intelek yang menjadi pak turut dan tidak kritikal.
Pensyarah
USM, Wan Manan Wan Muda berkata di Malaysia hari ini, ia bukannya
memberikan kebebasan yang lebih besar seperti di Jepun dan Indonesia, di
mana hak akademik dilindungi dalam perlembagaan, tetapi sebaliknya,
ahli akademik negara ini dilayan seperti "warganegara kelas kedua".
Bercakap
dalam satu forum di Universiti Malaya malam tadi, beliau berkata, di
Jepun, ahli akademik dan pelajar universiti diberi kebebasan yang lebih
kerana mereka dilihat sebagai lebih waras.
Bagaimanapun, katanya,
di sini ahli akademik merupakan warganegara kelas kedua di mana mereka
tidak boleh bercakap, membuat komen, kenyataan akhbar atau mengkritik
pihak universiti.
Lebih buruk lagi, katanya, keadaan di Malaysia -
yang mengamalkan pelantikan politik di universiti - adalah lebih teruk
daripada di Afrika Selatan semasa era apartheid.
Katanya, keadaan
dalam bidang akademik di Malaysia tidak banyak berubah sejak tahun
1985, yang menurutnya, adalah kemuncak bagi perjuangan untuk kebebasan
akademik di negara ini.
Wan Manan berkata, ketika itu, pensyarah
USM, Hashim Hussein Yaacob dan Rohana Ariffin, masing-masing telah
dipecat dan diturunkan pangkat kerana membuat kenyataan kepada media,
dan ia mencetuskan bantahan di kalangan ahli akademik.
Menurutnya
lagi, kira-kira satu pertiga daripada 140 orang yang menandatangani
kenyataan menyokong Abdul Aziz adalah orang yang sama yang bangun
menyokong Hashim dan Rohana.
Sementara itu, prof madya Zaharom
Nain dari Universiti ottingham berkata bahawa keadaan ini disebabkan
oleh "sosialisasi" ahli akademik baru, yang kebanyakan mereka telah
"ditapis" dari awal.-Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan