Pelajar PPSMI diberi pilihan teruskan dalam BI-Malaysiakini
Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk
meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa
Inggeris sehingga Tingkatan Lima.
Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh
memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka
memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.
"Jadi pengajaran dan
pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan
dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di
sekolah menengah adalah pada 2021.
"Dengan keputusan itu,
pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk
melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak,"
katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata
kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk
meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5
dapat melegakan ibu bapa.
Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Muhyiddin
berkata kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort
PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),
Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak
akan terjejas.
Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata
murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran
Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT).
Sementara itu, Muhyiddin berkata kajian
Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian
menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.
Beliau
berkata kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di
7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.
"Manakala di
peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah
kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran
dan pembelajaran matematik dan sains.
"Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan," katanya.
Menurutnya,
hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan
pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan
murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan
sains dalam bahasa Inggeris.
"Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya.
Untuk
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin
berkata pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di
bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa
Inggeris (MBMMBI).
Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan
masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan
kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru.
Inisiatif
lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti
pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti
seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya.
- Bernama
Berkaitan;
PPSMI sekolah rendah mansuh 2017, sekolah menengah 2021-M'insider
Dr Mahathir berkata Najib masih boleh selamatkan PPSMI-M'insider
Tun Madey akan pertahankan apa saja yang beliau lakukan.Samaada betul atau tidak baik atau buruk itu beliau tak peduli janji apa yang beliau telah gariskan mesti dan wajib diteruskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan