Jumaat, 18 November 2011

'Cepat sapa cepat dia dapat'


Pengerusi NFC pertahan beli kondo, dakwa nilainya RM6.9 juta-M'insider

Pelaburan kondominium di Bangsar bernilai RM6.9 juta seunit menggunakan wang pinjaman projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) adalah keputusan perniagaan bijak, demikian menurut Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini.
Menjelaskan kontroversi yang timbul, beliau berkata, sekiranya wang itu ditempatkan di dalam bank, kadar pulangan tahunan hanya 2.6 peratus.
“Berbanding pelaburan sektor hartanah, ia mampu menjana keuntungan tahunan 12.9 peratus serta pulangan rebat tunai dan penyewaan untuk tahun pertama sebanyak RM900,000 yang disalurkan kepada syarikat dan bukannya individu,” katanya di Gemas hari ini.
Kata beliau, masih ada projek membabitkan perniagaan ternakan lembu NFC yang belum dilaksanakan.
“Justeru, sambil menunggu pelaksanaan projek seterusnya, saya fikir duit geran yang masih belum digunakan itu perlu dilabur supaya mendapat keuntungan,” katanya pada sesi taklimat media di pejabat ladang NFC, demikian menurut laporan Berita Harian Online.
Sebelum ini pembangkang memetik Laporan Ketua Audit Negara mendakwa syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil itu telah menggunakan dana melalui NFC untuk membeli satu unit kondominium mewah dengan bayaran berjumlah RM9.8 juta.
Salleh adalah suami Shahrizat.
Dalam pada itu, Salleh belum memutuskan sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli ekoran kenyataannya mengenai isu NFC.
“Kami sekeluarga perlu duduk semeja dan berbincang sebelum memutuskan langkah susulan yang perlu diambil,” katanya.
Peguam NFC, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, beliau sudah menasihatkan anak guamnya bahawa tindakan undang-undang ke atas pendakwa boleh dilakukan kerana tuduhan yang dilemparkan tidak berasas.
Bagaimanapun katanya, beliau hanya boleh memberi nasihat dari segi perundangan dan menyerahkan kepada anak guamnya untuk membuat keputusan.
Dipetik Bernama Online, Salleh berkata pembelian dua unit kondominium One Menerung berharga RM6.9 juta tiap satu itu adalah satu keputusan komersial melindungi dana yang tidak digunakann untuk projek rumah sembelihan yang tergendala bukan kerana kesilapan NFC.
“Kami boleh memasukkannya ke dalam simpanan tetap namun menghadapi kerugian nilai kerana inflasi kami tinggi.
“Sementara menunggu projek itu dimulakan kami perlu mencari tempat meletakkan wang bagi satu tempoh supaya tidak mengalami kerosotan dan mendapat keuntungan hampir setiap tahun,” katanya.
Salleh berkata yang terbaik sekali ialah membiarkan dana sebagai simpanan tetap yang akan kurang kontroversi tetapi tidak akan memberikan hasil yang dikehendaki syarikat daripada dana yang bersaiz sedemikian.
Perunding korporat dan kewangan NFC, Zakaria Mohammad berkata kumpulan itu menerima rebat kira-kira RM700,000 setiap unit selama dua tahun daripada pemaju dan pemaju juga membuat urusan supaya NFC mendapat sewaan daripada unit dengan pendapatan kira-kira RM200,000 setahun.
Katanya, NFC akan memperoleh kira-kira RM3.6 juta daripada kedua-dua unit berkenaan bagi dua tahun pertama pada 2010 dan 2011 yang semuanya dikreditkan kepada kumpulan NFC.
Salleh berkata tujuan pemberian pinjaman sudah pasti untuk ladang ternakan dan infrastruktur.
Dengan kerana itu walaupun pembelian kondo adalah menyimpang daripada tujuan pinjaman diberi, harta berkenaan masih disimpan atas nama dan mengikut rekod buku syarikat.
Ia adalah soal untuk menukarkan balik harta menjadi tunai mengikut keuntungan yang dikehendaki dan tidak berlaku sebarang tindakan memperkaya atau perbuatan tidak jujur di pihak mana-mana individu, katanya.
Mengenai pinjaman RM250 juta daripada kerajaan, Salleh berkata ia bukanlah satu bantuan atau ‘grant’.
Katanya, pinjaman mesti dibayar balik seperti pinjaman komersial walaupun beberapa konsesi diberi.
Pinjaman RM250 juta itu dengan kadar faedah dua peratus, dibayar balik bermula pada tahun ketiga setelah pinjaman dikeluarkan sepenuhnya dan apabila siapnya pembinaan rumah sembelihan untuk eksport berkualiti.
“Buat masa sekarang pinjaman belum lagi dikeluarkan sepenuhnya kepada NFC. Masih ada RM69 juta lagi baki pinjaman belum digunakan,” katanya.
Salleh berkata pinjaman tersebut diletakkan di bawah Akaun Pinjaman Khas tetapi proses menurun diperlukan sebelum dana dapat digunakan oleh NFC.
Mengenai dakwaan bahawa rangkaian restoran Meatworks memperoleh diskaun berjumlah RM2.9 juta pada 2009, beliau berkata diskaun yang sama diperolehi 70 pelanggan restoran itu dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata mewujudkan jenama Meatworks dalam menjual daging yang berkualiti telah membolehkan NFC menembusi dalam pasaran yang begitu ketat dikawal.
“Orang ramai tidak percaya bahawa Malaysia boleh mengeluarkan daging baik yang berkualiti premium,” tambah beliau.
Mengenai harga tinggi bagi lembu NFC berbanding lembu yang dibeli di Malaysia, Salleh berkata lembu-lembu NFC biasanya memiliki berat antara 70-100 peratus lebih daripada lembu tempatan.
Katanya, NFC kini mempunyai 150 syarikat pelanggan dan antara pelanggannya yang terbesar ialah Jusco, Giant dan Cold Storage.
NFC membekalkan 46 peratus dagingnya kepada pasar basah, 20 peratus ke pasar raya, 22 peratus kepada kilang memproses daging dan burger dan hanya 11 peratus kepada hotel, restoran dan katering.
Sejak tiga tahun penubuhannya NFC berjaya membangunkan infrastruktur seperti lot-lot makanan, rumah sembelih, setor makanan dan bilik sejuk. Tahun depan NFC akan menceburi ladang kontrak.
“Kami sudah memperoleh imbangan pendapatan dan dijangka mendapat keuntungan,” katanya.-Minsider

Pandai makan tak pandai simpan.Terang-terang dah mengaku.Berapa juta pun kira betullah dakwaan beli kondo tu.Tapi apa nak kisah bukan beli duit sendiri.Bukan duit menabung dari kecik.Duit rakyat! Rugi pun tak pa .SPRM pun tak boleh siasat kena serah kepada pihak polis.Pihak polis kata macam mana nak siasat tak ada laporan.Woiit tunggu apa lagi pi la buat laporan polis hihi.Jangan hanya riuh dalam alam siber.Laporan kepada SPRM dah dibuat, kalau laporan kepada polis pun tak laku rakyat kena turun ke jalanraya .Ini ubat terbaik untuk ajar Umno-BN! Klik gambar di atas untuk lebih jelas.
Berkaitan;
Skandal NFC:Muhyidin juga perlu letak jawatan-KeadilanDaily 
Holy cow!Who pays RM70,000 in rental-Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan