Skandal NFC:Keadilan ada bukti , boleh saman bila-bila masa-Rafizi-KeadilanDaily
KEADILAN mempunyai bukti kukuh berlaku penyelewengan dalam syarikat
Feedlot Corporation Sdn Bhd (FNC) milik keluarga Datuk Seri Shahrizat
Jalil yang sedang menjadi isu hangat dalam Negara.
“Kalau kita sudah sampai ke peringkat ketahui setiap sen ke mana
pergi, maknanya kita ada maklumat penuh setiap satu sen yang
dibelanjakan,”
“Kalau
dia (Shahrizat) kata kita tipu, tunjukkan (penipuan) yang itu dulu,
(tapi) kalau dia tak tunjuk pun, bolehlah saman bila-bila masa,” kata
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dalam sidang media di parlimen
hari ini.
Penyelewengan tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM250 juta
oleh kerajaan apabila projek fidlot kebangsaan itu tidak mencapai
sasaran sepatutnya.
Pada sidang media yang sama hari ini, KEADILAN turut mendedahkan
pembelian kondominium mewah berharga RM9.8 juta oleh NFC dari dana yang
diperuntukkan.
Renteran itu, satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz
Musa di Shah Alam tengahari tadi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, KEADILAN turut membuat siasatan dan
telah melawat kondominium berkenaan yang terletak di Bangsar.
“Jika kami tidak betul, ini adalah tanggungjawab Perdana Menteri dan
Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian, Ketua Pemuda Umno dan Ketua
Wanita Umno untuk menjawabnya,” kata beliau.
Justeru itu beliau mencabar pihak-pihak berkenaan jika tidak berpuas
hati dengan dakwaan dengan menunjukkan penyata bank bertarikh 2 Disember
2009.
“Kalau mereka berani saya minta tunjukkan bank statement tarikh
tersebut yang bercawangan di Taman Tun Dr Ismail di mana pembayaran
telah dibuat pada pemaju berkenaan,” katanya.
Rafizi dalam pada itu turut menggesa media agar mendapatkan
pengesahan dari pihak pemaju sendiri berkenaan kebenaran dakwaan yang
dibuat.
Sementara itu Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata
kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pemuda Umno
bahawa wang yang disalurkan oleh kerajaan kepada NFC diletakkan dalam
akaun amanah khas adalah tidak benar.
“Jumlah RM9.8 juta untuk membeli kondominium dipindahkan ke akaun
semasa NFC di bank tempatan dan bukannya sebuah akaun amanah khas.”
“Rembau (Khairy Jamaludin) kata duit itu dalam akaun amanah khas dan
memerlukan kelulusan jawatan kuasa teknikal sebelum dibelanjakan. Jadi
bila jawatan teknikal meluluskan?,” Soalnya.
“Kalau betul pantauan ketat ini berjalan, sudah tentu wang sejumlah
RM9.8 juta tidak boleh dipindahkan begitu saja untuk membeli kondominium
mewah yang tidak ada kena mengena dengan industri penternakan dan
penyembelihan lembu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan