Khamis, 21 April 2011

TGHA: Saya sedia ditentang jika ada calon layak


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini disifatkan sebagai liabiliti kepada parti itu berkata, beliau sedia ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencalonkan Datuk Husam Musa iaitu ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan untuk bertanding jawatan presiden.

“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.

Kata Hadi, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

“Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu sambut baik jika ada pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu daripada latar belakang dan pendidikan yang berbeza.

Susulan komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mempertahankan Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai “langkah kurang tepat”, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, “pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.”

Beliau menambah PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin.

“Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya,” kata beliau.

Laporan media kelmarin memetik Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS sebagai berkata, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya.

Sehubungan itu kata Aziz, Hadi, 64, dilihat telah gagal mempertahankan parti dalam beberapa isu berbangkit.

Nik Aziz menambah kata, sememangnya memenangi pilihan raya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihan raya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

“Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar?

“Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT,” kata beliau lagi.-M'insider

1 ulasan:

  1. Kempen saat akhir UG bermula!

    "Dalam zaman para sahabat dan tabi'in, antara ungkapan kata pemimpin ialah: "Saya bukanlah individu yang terbaik di kalangan anda ..."

    Di akhir zaman, khususnya di zaman kita sekarang, antara ungkapan kata pemimpin ialah: "Kalau ada calon yang lebih baik, saya sanggup beri laluan ..."

    Fikirkan dan fahamilah ...!!"

    http://siyasahsyariyah.blogspot.com/2011/04/pemimpin-islam-dan-ungkapan-kata.html

    boleh baca di link berikut:

    http://muktamarpas2011.wordpress.com/2011/04/20/kempen-saat-akhir-ug-bermula/

    BalasPadam