Isnin, 11 April 2011

Mat Sabu layak tanding timbalan presiden Pas


Bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu kini layak bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti Jun ini selepas mendapat tiga pencalonan di peringkat kawasan.

Pencalonan itu diperolehi daripada tiga kawasan – Kubang Kerian, Bukit Bintang dan Muar.

Peraturan parti menetapkan supaya mana-mana calon yang menawarkan diri untuk bertanding untuk mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan di peringkat kawasan.

Dalam pemilihan PAS dua tahun lalu, Mohamad (foto) tewas kepada penyandangnya Nasharuddin Mat Isa dan bekas naib presiden Datuk Husam Musa dalam persaingan tiga penjuru. Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mohamad memperolehi 261 undi. Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Mohamad menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut kali ini, namun keputusan akhir untuk meneruskan pertandingan bergantung kepada sokongan akar umbi.

Beliau menawarkan diri untuk bertanding bagi membantu presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha memperkasa parti dan memperkukuh kerjasama dalam Pakatan Rakyat serta memantapkan Majlis Syura Ulama.

Mohamad dijangka tidak menghadapi masalah untuk menambah pencalonan daripada beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti kawasan Batu dan Putrajaya.

Kedua-dua kawasan tersebut akan mengadakan pemilihan pada 23 April ini.

Sementara itu, sumber PAS Muar memberitahu Malaysiakini, kawasan tersebut mengekalkan Abdul Hadi dan ketiga-tiga naib presiden – DatukTuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar – bagi pemilihan Jun ini.

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuart kawasan pada 2 April lalu.-Malaysiakini

Baca juga;

Husam dicalon tanding presiden Pas-Malaysiakini

1 ulasan:

  1. Bagus . Gandingan yang paling ideal.

    Veteran yang telah teruji dalam berjuang

    BalasPadam