Rabu, 20 April 2011

Aziz Bari:Pemuda Pas 'jangan naik minyak'


Prof Abdul Aziz Bari menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya tidak “mengamuk dan naik minyak” ekoran pandangannya bahawa Presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini dilihat sebagai liabiliti kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Justeru tegas penganalisis politik ini, Dewan Pemuda PAS khususnya kepimpinan Wilayah Persekutuan seharusnya memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah (Persektuuan) tak perlu melenting. Mereka kena faham konsep dan implikasi kepemimpinan dalam politik moden berperlembagaan hari ini,” kata ahli akademik ini.

“Mungkin Dewan Pemuda Wilayah berasa PAS sekarang hebat. Itu hak mereka. Tetapi tak perlulah mereka mengamuk.

“Saya fikir elok mereka bekerja untuk memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik,” kata beliau dalam satu kenyataan balas hari ini.

Semalam, pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen turut menyanggah pandangan Aziz sambil berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS.

“Selain itu, pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.

“Ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008, malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari tujuh kerusi pada 2004,” katanya.

Sebagai presiden kata beliau, keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja.

“Dan, ia sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah presiden,” katanya.

Kata beliau, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Hadi adalah punca kegagalan 16 September.

“Di tadika manakah fakta ini diperolehinya? Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai profesor atau sekadar menggantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi.

“Nampaknya beliau sengaja mengkambinghitamkan presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca,” kata beliau lagi.

Pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan kepimpinan Hadi sambil menegaskan pemimpin veteran itu bukan liabiliti kepada parti Islam sepert didakwa Aziz.

Sebaliknya, mereka sebulat suara berkeyakinan Hadi yang telah menerajui PAS sejak 2002 masih releven untuk menjadi pemimpin nombor satu parti itu ekoran kejayaan yang telah dicapai semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi pula berkata alasan yang diberikan Aziz itu adalah perkara yang akan sentiasa dibangkitkan setiap kali menjelang pemilihan parti itu.

Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, ramai yang akur bahawa ruang yang ditinggalkan oleh Fadhil tidak dapat diisi oleh Hadi.

“Fadhil hebat kerana beliau meninggalkan landasan yang hari ini menjadi asas Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Hadi mempunyai imej yang berbeza. Walaupun belum ke tahap meninggalkan Pakatan golongan ini sudah pernah mengungkit kedudukan mereka dalam Pakatan,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, mereka yang mahu perubahan dalam negara perlu menyokong perubahan dalam PAS.

Katanya, perubahan dalam negara sukar untuk berlaku tanpa sistem dua parti yang mantap. PAS di bawah Hadi tidak peduli konsep ini.

“Meskipun Hadi dan kumpulannya menjerit-jerit untuk menggantikan Umno mereka tidak bekerja untuk membina sebuah sistem yang perlu ke arah itu. Sebab itu Umno senang dengan mereka,” katanya lagi.

Aziz berkata, sesiapa yang berjawatan dalam politik perlu akur bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dikritik.

“Siapa raja, baik putera raja, ulama, cendekiawan dan lain-lain, perlu akur bahawa mereka tidak lagi kebal dari penilaian dan kritikan,” katanya lagi.

Aziz menambah, “komen saya mungkin keterlaluan bagi mereka” tetapi bagi mereka yang prihatin tentang perlunya perubahan, komen itu boleh dipertimbangkan.

“Komen saya berdasarkan pemerhatian dan suara yang dizahirkan oleh pemimpin dan ahli parti. Saya tak perlu dedahkan siapa mereka. Itu kerja parti, termasuk Dewan Pemuda Wilayah, untuk menyiasatnya,” katanya lagi.

Soal Aziz, jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS.

“Lagipun PAS sudah mendakwa yang ia bersedia mengganti Umno. PAS juga mendakwa ia parti untuk semua, termasuk orang bukan Islam.

“Dengan itu PAS perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengamuk dan naik minyak bila dikritik bukan ciri parti politik,” katanya.

Aziz juga berkata, beliau tidak mengkritik Hadi atas dasar peribadi, sebaliknya mengkritik prestasnya kerana ingin melihat PAS parti penting.

“Ia bukan sahaja parti utama Pakatan Rakyat tetapi ia parti yang senior dan mempunyai banyak ahli, khabarnya sejuta. Ertinya PAS parti terbesar dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Sebab itu katanya, Umno sentiasa gelisah dengan PAS dan cuba mencari jalan untuk menggoncang kesetiaannya dalam Pakatan Rakyat.

“Sikap dolak dalik Presiden PAS dalam isu 16 September semua orang tahu. Begitu juga dengan gagasan kerajaan perpaduan,” katanya.

Aziz juga mengaitkan kritikan terbaru ini dengan prestasi parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

“Cuba bandingkan perancangan DAP di Sarawak. Mereka bekerja sejak tahun yang lalu. Saya rasa PAS tidak berbuat begitu.

“Mereka sepatut menang di Beting Maro. Dalam soal ini, siapa yang patut menanggungnya?” katanya.

Beliau seterusnya memberikan analogi “jika pemain gagal bermain dengan baik pasti ada yang tidak kena dengan sistem permainan dan taktik yang dipakai.”

“Dan, siapa yang hendak dipersalahkan? Jawabnya jurulatih atau pengurus pasukan. Kita akur bahawa menukar ketua tidak semestinya menghasilkan keputusan yang positif.

“Tetapi kita mesti mencuba. Kita tidak boleh mengekalkan pengurusan yang prestasinya hambar,” katanya lagi.-M'insider

Ketua Pemuda Pas Pusat pun kalau tak berapa 'cerdik politik' elok berundur bagi kepada orang lain yang bercambah dalam kepimpinan pemuda Pas pusat.Asyik-asyik pelawa Khairy dan bekas ketua pemuda Perkosa ja masuk Pas apa kejadahnya! Pemuda Pas kena naik minyak dengan Pemuda Umno yang tiap kali ada prk pemuda Pas asyik kena tonyoh ja..geram dengaq..

3 ulasan:

  1. saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan tgna. ukuran untuk menukar presiden bukan terletak kepada kalah menang dalam pilihanraya. “menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT”.

    memang tidak pernah berlaku, malah tidak akan berlaku, insya’ Allah, mana2 ulama pas yang melanggar syariat Allah swt.

    namun, oleh kerana pas memilih untuk memasuki pilihanraya bagi membolehkan syariat Allah terlaksana, untuk memenangi pilihanraya, pas perlu mendapat sokongan dari rakyat berbilang bangsa/agama di negara ini. justeru pas perlu mempunyai presiden yang arif serta memahami iklim politik semasa.

    tidak sedikit kecelaruan yang dialami pas selepas pru12 yang dimulakan oleh perjumpaan hush-hush di antara presiden, timbalan presiden dan setiausaha agong dengan mantan pm, paklah. alasan yang diberi kerana mahu menolong paklah. ia berlaku di dalam keadaan di mana rakyat telah mulai menolak umnobn. peluang terbuka untuk pas mengeksploitasi ‘kebangkitan’ rakyat bagi meraih keuntungan politik yang telah ‘dihadiahkan’ oleh Allah swt sebagai memperkenankan solat hajat serta munajat bagi menghadapi pru12. tindakan untuk meyelamatkan paklah adalah bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah menolak umnobn. siapa sangka samy vellu boleh tewas di sungei siput? siapa sangka dr siti mariah boleh menang kerusi parlimen kota raja?

    tindakan pas memilih untuk berkerjasama dengan dap (tahalluf siasi) bagi berlawan dengan umnobn sebelum pru12 telah membolehkan pas menuai kejayaan. tindakan untuk menyelamatkan paklah telah melanggar kerjasama yang termeterai. rakyat mulai mempersoalkan hala tuju pas, kesangsian mulai membunga.

    keadaan celaru berterusan apabila “kerajaan perpaduan” dilontarkan oleh presiden. ia datang semasa rakyat sudah memilih abu (asal bukan umno). pas bertanding menentang umno di kawasan majoriti pengundi melayu. potensi kejayaan di kawasan2 yang pas kalah dengan majoriti yang kecil pada pru13 adalah besar. tidak sedikit orang umno sudah lari kepada pas. dalam keadaan ini “kerajaan perpaduan” melonggar kembali momentum yang dijangka akan memihak kepada pas. pada masa yang sama, “kerajaan perpaduan” turut ‘menghina’ orang2 umno yang telah memilih untuk bersama pas!

    keputusan muktamar ke 55 telah memutuskan untuk “memperkasakan pakatan rakyat”. irama dan lagu “kerajaan perpaduan” terus dikumandangkan. ia berhenti apabila disentak oleh tgna. bagi membuktikan bagaimana seriusnya pas, dinobatkan buat kali kedua “memperkasakan pakatan rakyat” di muktamar ke 56. sentakan tgna serta nobat kali kedua tidak berupaya untuk manghentikan irama dan lagu “kerajaan perpaduan” dari siaran disokong dengan “umno sudah berubah”. soksek2 kekhuatiran terhadap melayu akan hilang kuasa kepada orang “yang berfikir macam saya berfikir” sayup2 kedengaran.

    siapakah yang bertanggungjawab memulakan ini semua? tentu bukan ahli2 biasa pas kerana mereka hanya layak memanjat pokok memasang bendera dan banner/poster semata2 berkorban lillahita’ala. mereka sudah tentu tidak boleh menentukan arah tuju pas.

    tidak terpalitkah kekotoran kepada syariat? jika tidak, presiden tidak perlu ditukar kerana hanya kalah dalam pilihanraya!

    wallahu’alam.

    BalasPadam
  2. sokong dari parti bulan bintang lagi20 April 2011 pada 10:43 PTG

    ubah perlembagaan pas...presiden mesti jawatan seumur hidup..selagi presiden tak kojol,maka tak sape pun boleh pegang jawatan presiden

    BalasPadam
  3. sejarah...Sayindina Khalid Ibn Walid tetap terus berjuang tanpa sedikit pun terguris walaupun dilucutkan jawatan di medan perang....Allah tetap janjikan kemenangan walaupun bukan ditangannya.......... mudahkah mencari pemimpin yang demikian?

    BalasPadam