Ahad, 24 April 2011

Parti bukan sendirian berhad, urus secara jamaah-Tuan Ibrahim Tuan Man


Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.

Menurutnya, PAS telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.

Tegasnya, pimpinan PAS tetap menggerakkan parti untuk terus komited bersama Pakatan Rakyat yang mengorak langkah lebih jauh dalam arena politik negara.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu juga mengingatkan ahli-ahli agar buang sikap 'tiada masa dengan Allah nanti Allah tiada masa dengan kita', lazimi Al-Quran, tahajjud dan puasa sunat serta berusaha agar kelemahan yang diketahui tidak terus dikekalkan.

Beliau menambah, kemenangan kali kedua di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang bagi menjamin segala usaha politik dan dakwah Islam masakini dapat diteruskan.

Menurutnya, keadaan sekarang amat cantik di pandangan mata di mana masjid berjaya dimakmurkan dengan segala aktiviti mendidik anggota masyarakat.

"Kerana itu, harapan agar segala usaha dapat dilakukan sebaiknya bagi memastikan segala kegiatan dan usaha ke arah kebaikan dapat dijayakan dengan sebaiknya.

"Ingatlah Allah sedang menguji anda semua di Selangor ini, pasti tidak sama keadaannya sebelum menang dengan suasana selepas memegang tampuk kerajaan," tegasnya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam ke 24 di TTDI Jaya, dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata, pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan namun sesekali hendaklah menoleh ke belakang melihat kemampuan ahli-ahlinya.

Mereka, ujarnya, jangan terlalu laju sehingga tidak mampu dikejar ahli dan jangan pula terlalu lambat sehingga kaki mereka dipijak.

"Semua ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang terlebih bakar, jangan diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan tetapi letaklah di bahagian pengukuhan tiang binaan," tegasnya penuh berkias.-Harakahdaily

Siapa yang uruskan Pas untuk berkehendak dalam gelap dengan Umno hingga timbulnya kerajaan perpaduan yang katanya dah tutup buku banyak kali?

1 ulasan:

  1. salam,

    syabas kepada ustaz tuan ibrahim tuan man. peringatan beliau, "parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak", amat tepat sekali. apabila kita melihat ke belakang, peringatan inilah yang telah mewarnai pas selepas pru12 sehingga gerakerja ke arah memantapkan parti terabai.

    “pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan” yang beliau nukilkan menepati iklim politik semasa yang dilihat agak tidak menonjol pada pas. apabila kita melihat ke belakang, sikap “berpandangan jauh ke hadapan” inilah yang tidak mampu ditunjukkan oleh kepimpinan pas selepas pru12 sehingga mencalarkan pas. kerana ketidakmampuan inilah pas dilihat gagal mengoptimumkan usaha2 memperkasakan pas dalam keseronokan laungan “menggantikan umno”sesuai dengan tuntutan politik semasa yang telah ditunjukkan oleh masyarakat terhadap pas dan pakatan rakyat. tidak semena2 pas menari mengikut rentak gendang paluan umno.

    menyedari hakikat bahawa peranan media arus perdana sentiasa menunggu untuk memutarbelitkan apa sahaja kenyataan akhbar pemimpin pas bagi menimbulkan keraguan terhadap pas semata2 untuk meraih keuntungan politik ‘tuan media arus perdana’, masih terdapat di kalangan pemimpin pas yang memilih membuat kenyataan dalam isu2 yang tidak perlu pas melibatkan diri. kemudian, “terpaksa” pula berkokok balas bahawa media “salah lapor”. kerana perkara ini berlaku secara berulang2, ia menggambarkan ketidakpekaan pemimpin berkenaan serta menimbulkan persepsi yang boleh dikaitkan dengan isu2 yang telah mewarnai pas selepas pru12. dua perkara boleh berlaku, sama ada secara sedar atau tidak. satu, “membantu” memecahbelahkan pakatan rakyat dan kedua, “mencederakan” pas mendepani pru13.

    yang mewarnai pas dengan warna yang huduh selepas pru12, bukanlah ahli2nya, tetapi kepimpinan kerana berus warna berada di tangan mereka.justeru semua ahli pas mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk menyerahkan berus warna ini kepada yang ahli, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang tidak boleh diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan, bolehlah letaklah di bahagian lain yang sesuai.

    wallahu’alam.

    BalasPadam