Isnin, 25 April 2011

Jawatan TP Pas:'Saya bersedia memberi khidmat jika diberi peluang'-Mat Sabu

Mat Sabu tawar tanding jawatan timbalan presiden-M'insider

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu bersedia untuk memikul peranan sebagai timbalan presiden jika itu yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, beliau yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata, sehingga kini pencalonan diterimanya bagi jawatan timbalan presiden PAS amat menggalakkan.

Beliau pernah mencuba nasib merebut jawatan nombor dua itu pada pemilihan 2009 tetapi tewas mengatasi Nasharudin Mat Isa.

Justeru, kata beliau, keputusan untuk bertanding bagi jawatan itu dibuat ekoran pencalonan memberangsangkan dari peringkat kawasan.

“Saya bersedia memberi khidmat bagi jawatan timbalan presiden... saya bersedia sekiranya diberi peluang pada pemilihan PAS Jun ini,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Kedah ini.

“Saya diberitahu telah menerima banyak pencalonan daripada kawasan untuk jawatan timbalan (presiden), tapi saya tidak tahu berapa banyak, yang saya sudah terima dan difahamkan saya terima pencalonan daripada PAS kawasan di Johor, Perak dan juga Selangor,” katanya.

Beliau merupakan naib presiden ketika bertanding jawatan timbalan presiden dua tahun lalu.

Mohamad, 55, berkata beliau tidak pasti sekiranya akan ada pertandingan bagi jawatan nombor dua kali ini.

“Sama ada ada pertandingan atau tidak, saya tidak tahu. Tapi saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu kalau diterima perwakilan,” katanya.

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak awal Jun ini.

Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei.

Sebelum ini, Mohamad berkata, beliau hanya akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden PAS sekiranya mendapat sokongan dan pencalonan yang kuat di peringkat kawasan.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini berkata, beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding kerana mahu membantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam, khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.-M'insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan