Ahad, 7 Mac 2010

Umno beli kuda patah kaki-Husam Musa

Tindakan Umno membeli tiga Ahli Parlimen KEADILAN disifatkan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa sebagai mengguna kuda sakit atau patah kaki untuk berperang.

"Sekarang Umno dan Barisan Nasional sudah beli wakil rakyat KEADILAN dan tukar jadi wakil rakyat bebas. Dulu masa mengundi mereka menang atas tiket Pakatan Rakyat tetapi selepas ambil wang dari Umno mereka jadi bebas.

"Malangnya Umno sudah beli kuda sakit atau patah kaki. Mana ada orang pakai kuda sakit atau patah kaki untuk pergi perang," kata Husam dalam ucapan ringkas beliau pada jamuan makan malam anjuran DAP Kepong di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kepong selaku tuan rumah Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke.

Husam berkata jika Pakatan Rakyat dan rakyat bersatu sudah tentu Umno dan BN dapat ditumbangkan pada pilihan raya umum akan datang.

Menyentuh mengenai isu royalti minyak yang dinafikan kerajaan pusat kepada rakyat Kelantan, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu berkata mahkamah di Malaysia boleh dianggap sebagai mahkamah "kangaroo".

"Satu-satunya binantang dalam dunia yang ada poket ialah kangaroo. Umno sudah letak mahkamah dalam poketnya. Ia akan lompat ikut ke mana Najib arahkan.

"Itulah akibatnya jika tidak mengikut undang-undang. Dalam kes royalti minyak Kelantan apabila mahkamah sudah jadi mahkamah "kangaroo" mereka tidak mahu bayar royalti. Kerajaan akan jatuh, tamadun akan hancur dan musnah kalau undang-undang tidak mahu diikut. Oleh itu seluruh rakyat mesti bersatu padu dan komited untuk menumbangkan Umno-BN dan menubuhkan kerajaan pusat yang baru," katanya lagi.

Suara-Keadilan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan