Populariti Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Malaysia semakin merosot meskipun pelbagai taktik digunakan oleh media arus perdana untuk melonjakkan imejnya sebagai pemimpin yang kononnya dekat dengan rakyat.
Malah jika berdasarkan kempen khusus yang diusahakan oleh TV3 untuk membina imej Najib sebagai pemimpin yang berwawasan dengan slogan 1 Malaysianya, langkah itu ternyata amat memalukan.
TV3 menerbitkan program yang diberi nama "Soal Jawab" yang ditayangkan di waktu "perdana" pada setiap Isnin sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun bilangan penonton atau "rating" yang diharap dapat membantu mengekang kemerosotan penonton stesen televisyen itu tidak berhasil walaupun yang diundang untuk bersoal jawab dengan hos sama ada Datuk Ahmad Talib mahu pun Datuk Manja Ismail ialah Najib Razak sendiri.
“Ini memberi gambaran bahawa rakyat tidak berminat dengan omong dan slogan kosong Najib. Kempen 1Malaysia langsung tidak menarik minat rakyat," menurut sumber penerbitan TV3.
Adalah difahamkan bahawa syarikat pemantauan data dan trend penonton televisyen, AGB Nielsen mencatatkan hanya 270,000 orang menonton wawancara Ahmad Talib dengan Najib pada 18 Januari lalu.
Ini adalah jauh lebih rendah daripada wawancara dengan sepupu Najib, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein yang mencatat 487,000 penonton pada Selasa 12 Januari. Difahamkan "Soaljawab" dengan menteri ini ditayangkan Selasa kerana beliau tidak sempat datang pada hari Isnin.
Sumber itu memberitahu "rating" yang dicatatkan bagi rancangan ini pada slot perdana amatlah mengecewakan. Lazimnya pada slot jam 10 hingga 11 malam "rating" yang dapat dipungut oleh TV3 ialah sekitar 1.5 juta hingga 2 juta penonton.
Yang pasti program "Soal Jawab" dilihat sebagai satu program propaganda politik dan ini menjengkelkan penonton kerana kandungannya kebanyakannya adalah dari sudut Kerajaan sahaja.
Sumber itu memberitahu bahawa apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulfkifli Nordin dijemput untuk bualbicara, "rating"nya ialah jauh lebih baik daripada siaran yang menampilkan Najib. Difahamkan wawancara Zulkifli mencatat 438,000 penonton.
Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar berkata, wawancara dengan Perdana Menteri itu tidak mendapat sambutan kerana Najib tidak mempunyai kewibawaan dan kredibiliti di mata rakyat, malah dalam partinya sendiri.
"Keadaan itu menunjukkan bahawa masyarakat tidak dapat menerima dan ia merupakan satu protes secara jelas terhadap kepimpinan Najib. Ahli Umno sendiri yang dikatakan mempunyai keahlian lebih 2 juta tidak mengikuti rancangan itu,"katanya.
"Perkara ini sangat mengejutkan dan sekiranya perkembangan ini berterusan, ia akan membawa kepada satu lagi "grand design" untuk menjatuhkan Najib sepertimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah (mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi)apabila popularitinya jatuh merudum dan merosot teruk,"katanya.Baca di sini
TVSelangor.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan