Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.
Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.
Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.
Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.
Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.
Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.
Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.
Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.-Harakahdaily
Sementara Malaysian Insider melaporkan;
Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.
“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.
“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.
“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.
“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.
“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.
Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.Baca di sini
Baca juga;
Tempoh Mohsin tarik balik keputusan tamat-Ahmad Awang (Harakahdaily)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan