Jumaat, 29 Mac 2013

"Kalau ada rasuah tangkap lah",kata MB Kedah

Faktor 'Dr Mahathir, perpecahan Pas bukan halangan menang pru 13 ,kata MB Kedah

Datuk Seri Azizan Razak yakin Pakatan Rakyat (PR) dapat mempertahankan Kedah dalam Pilihan Raya 2013, walaupun pengaruh besar Tun Dr Mahathir Mohamad dan terdapat perpecahan dalaman PAS di negeri jelapang padi itu.
Bekas perdana menteri yang memerintah negara selama 22 tahun itu dilihat bergiat aktif berkempen membantu Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam pilihan raya akan datang termasuk bagi merampas semula negeri Kedah dan terdapat khabar angin tentang kemungkinan BN akan meletakkan anak lelaki Dr Mahathir, Datuk Mukhriz Mahathir, sebagai calon menteri besar.
“Ingatan saya sepanjang menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah, tiada langsung impak Mahathir ini,” kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider minggu lalu.
“Sebab orang marah kepada dia ... Mahathir, dia punya ‘time is over’. Dah lepas. Saya tau, saya ketua Kedah,” tambah beliau lagi.
Azizan walau bagaimanapun tidak gentar jika BN Kedah meletakkan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu sebagai calon menteri besar.
“Tak dak apa-apalah Mukhriz ni. Dia buat kerja dia, saya buat kerja saya. Benda ni macam you naik kapal dalam laut, kadang ombak besar, kadang ombak kecik, biasalah,” tambah beliau.
Azizan juga tidak menganggap isu perpecahan dalaman PAS diantara kumpulannya dan kumpulan Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, sebagai satu masalah besar yang akan menjejaskan parti tersebut.
“Semua parti ada perpecahan, Umno yang berpecah teruk sekarang ini. Berebut nak jadi MB... Kedah ni samalah, mereka cuba buat cerita,” kata Azizan.
Sebelum ini, media melaporkan timbul kemarahan bagi sesetengah pihak dalam parti tersebut kerana dikatakan PAS Kedah menghantar senarai calon baru ke Ibu Pejabat parti di Kuala Lumpur dengan mengetepikan calon-calon yang dilihat menentang Azizan termasuk mereka yang mahu menjatuhkan beliau sebagai menteri besar.
Antara yang dikatakan bakal ditukar adalah Phahrolrazi yang juga merupakan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh (Exco); Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Exco) dan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Ahli Parlimen Pendang).
The Malaysian Insider difahamkan Phahrolrazi akan ditukarkan dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor ke kerusi Parlimen Jerlun, manakala Ismail dan Hamdan akan digugurkan, termasuk Mohd Hayati kerana memberi laluan kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, untuk bertanding di kerusi parlimen Pendang.
Apabila ditanya kepada Azizan mengenai perkara ini, dengan bersahaja beliau menjawab: “Saya pun tidak tahu lagi, esok panel pencalonan akan keluar dari PAS Pusat,” katanya merujuk kepada senarai calon yang akan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat PAS tidak lama lagi.
Sepanjang lima tahun mentadbir negeri Kedah selepas 8 Mac 2008, terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan pentadbiran Azizan yang beliau dirasakan akan menjadi sebab rakyat akan terus menyokong PR untuk mentadbir negeri tersebut.
“Bersih rasuah. Rasuah tak ada di Kedah, kalau ada tangkaplah. Saya bagi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum, saya menggunakan sistem ‘Kifaalah’... semua orang mati, Melayu, Cina, India semua dapat,” kata beliau yang juga merupakan ADUN Sungai Limau itu.
Sistem Kifaalah merupakan skim insuran warga emas diperkenalkan untuk memberi perlindungan insuran kepada seluruh warga emas di negeri Kedah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sistem ini dimulakan oleh kerajaan negeri PAS di Kelantan.
“Saya bagi pendidikan, bantuan pendidikan … kemudiaan saya perkenalkan agenda pertanian Kedah.”
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi pendiriannya baru-baru ini Azizan akan terus memimpin PAS Kedah sebagai Pesuruhjaya dan tidak ada sebarang pertukaran untuk menghadapi Pilihan Raya 2013.
“Semua pimpinan PAS negeri termasuk dewan diminta menumpukan kerja dalam menghadapi PRU13 yang bakal dihadapi dalam waktu terdekat ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Politiknya pada 24 Mac lepas.-The Malaysianinsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan