Isu Altantuya:Pendedahan tanpa pendakwaan
Memang banyak perkara yang tidak kena dalam isu Altantuya. Rakyat sudah didedah dengan pelbagai pendedahan dari beberapa individu yang mengetahui isu pembunuhan gadis Mongolia tersebut.
Mendiang Bala dan Deepak telah mendedahkan secara terperinci bagaimana mendiang Bala diarahkan untuk membuat akuan bersumpah kedua yang palsu dengan tujuan menafikan akuan bersumpahnya yang pertama.
Yang terbaru peguam Bala, Americk Sidhu mendedahkan peguam yang menderaf akuan bersumpah kedua Bala iaitu Cecil Abraham telah mengaku kepada Americk bahawa Najib adalah individu yang mengarahkan Cecil menderaf akuan bersumpah palsu Bala yang kedua itu.
Akuan bersumpah Bala yang pertama menurut Bala adalah cerita sebenar tentang pembunuhan Altantuya. Menurut Bala apa yang dinyatakan di dalam akuan bersumpah pertamanya adalah sama dengan keterangannya kepada polis apabila beliau disoal siasat oleh polis dalam kes pembunuhan Altantuya.
Menurut Bala apa yang dinyatakan di dalam akuan bersumpah pertamanya adalah cerita sebenar manakala akuan bersumpah yang kedua adalah palsu.
Akuan bersumpah pertamanya mendedahkan penglibatan Najib Tun Razak dalam pembunuhan Altantuya. Najib dikatakan menghantar sms kepada Razak Baginda bahawa beliau (Razak) tidak perlu risau kerana Najib akan berjumpa Ketua Polis Negara dan semuanya akan diselesaikan.
Menurut Bala, Razak telah tunjukkan sms Najib itu kepada beliau. Disebabkan pendedahan berani Bala, Najib telah mengarahkan peguam senior, Cecil Abraham menderaf akuan bersumpah Bala yang palsu dan Bala telah diperdaya dan diugut untuk menandatangani akuan bersumpah palsu tersebut dan kemudianya dilarikan ke India.
Bala mendedahkan nama Deepak dan adik Najib, Nazim sebagai pihak yang terlibat mengugut, melarikan beliau dan keluarga beliau dan memberikan wang kepada beliau.
Menurut Bala semasa beliau berjumpa Nazim, isteri Nazim iaitu bekas pengacara Nona di Tv3 yang ketika itu sedang hamil juga hadir bersama-sama.
Baru-baru ini isteri Nazim tersebut menelepon peguam di firma saya bagi mendapatkan khidmat nasihat kes syariah beliau.
Deepak mengesahkan pendedahan Bala dan sebagai tambahah Deepak mendedahkan pula penglibatan Rosmah Mansor dan peguam senior Cecil Abraham. Peguam Bala, Americk Siddhu pula mendedahkan pengakuan Cecil Abraham baru baru ini bahawa Najib terlibat dalam isu akuan bersumpah palsu Bala yang kedua.
Sehingga kini peguam Cecil Abraham dan Najib masih berdiam diri - tidak mengiya atau menafikan.
Pendedahan telah dibuat . Isunya mengapakah tiada sebarang tindakan dari polis untuk menyiasat pihak yang terbabit?
Adakah polis telah menyoal siasat Deepak, Nazim, Rosmah, Cecil Abraham, Americk Siddhu dan Najib sendiri? Jika sudah mengapa sehingga kini tiada pendedahan tentang status penyiasatan tersebut? Jika belum siasat mengapa tidak disiasat?
Adakah Bala, Deepak dan Peguam Americk Sidhu membuat kenyataan palsu atau menipu atau memfitnah? Jika mereka menipu atau membuat kenyataan palsu atau memfitnah, mengapa Deepak dan Americk Sidhu tidak ditangkap dan didakwa? Jika mereka membuat kenyataan yang benar mengapa pula Nazim, Rosmah, Cecil Abraham dan Najib tidak ditangkap dan didakwa?
Jika Deepak dan Americk Sidhu memfitnah Najib, Rosmah, Cecil Abraham dan Nazim mengapa mereka yang kaya raya ini tidak mahu membersihkan nama mereka dengan menyaman Deepak dan Americk Sidhu di Mahkamah sivil atas tuntutan fitnah?
Pokoknya salah seorang daripada penama-penama itu boleh didakwa atau disaman berdasarkan senario yang saya bentangkan di atas. Ketiadaan pendakwaan ke atas mana mana individu itu adalah suatu yang amat pelik dan ganjil.
Adakah Negara ini tiada pendakwaraya atau tiada undang-undang? Adakah polis dan Ghani Patail juga tidak dibenarkan menyiasat dan mendakwa mana mana penama tersebut?
Sekiranya Deepak Dan Americk Sidhu memberi kenyatan palsu atau menipu atau memfitnah adakah Kerajaan BN merasakan pendakwaan ke atas mereka ditakuti akan mendedahkan lagi banyak pekung isu Altantuya sekaligus meranapkan impian Najib dan Umno untuk terus berkuasa di Putrajaya?
Sekiranya Deepak dan Americk Sidhu bercakap benar, adakah Peguam Negara berani mendakwa Cecil Abraham tanpa Najib terkena tempiasnya?
Adakah Peguam Negara berani mendakwa Nazim tanpa Rosmah pula terkena tempiasnya? Adakah Peguam Negara berani mendakwa Rosmah tanpa Najib pula terkena tempiasnya?
Adakah Peguam Negara berani mendakwa Najib tanpa jawatan, kedudukan dan keselesaan Ghani Patail tidak terkena tempiasnya? Terlalu banyak bocor di sana sini yang menyaksikan tempias di sini sana.
Bayangkan jika Anwar Ibrahim didakwa terbabit dalam isu Altantuya ..sudah tentu polis dan pejabat Peguam Negara akan berkerja 25 jam sehari...
Yakinlah Kerajan BN tidak akan berani membuat pendakwaan di atas pendedahan Bala, Deepak dan Americk Sidhu. Penyelesaian bagi kemelut ini hanya satu..Kerajaan baru Pakatan Rakyat di Putrajaya sahaja yang boleh diharapkan menyelesaikan kemelut ini sama ada pendakwaan dibuat kepada mereka yang terlibat dengan jenayah tersebut atau Suruhanjaya DiRaja dibentuk bagi menyiasat semula isu Altantuya sehinga ke akar umbi. Hanya dengan cara itu keluarga Altantuya dan Bala berharap ruh mereka berdua akan aman dan selesa.-Mohamed Hanipa Maidin (Harakahdaily)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan