Khamis, 14 Oktober 2010

Wawasan Umno-Perkasa Primitif -Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam dalam tulisan terbarunya dalam blog beliau menulis artikel yang bertajuk 'Pejuang Bangsa' berkata perjuangan Umno dan Perkasa bukanlah pejuang bangsa yang sebenar. Mereka berjuang untuk kayakan diri sendiri dan keluarga mereka.Wawasan Umno-Perkasa primitif.Antaranya Khalid Samad berkata;

Walaubagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dinyatakan terhadap UMNO mahupun PERKASA. Wawasan mereka wawasan yang primitif, mengingatkan kita akan zaman peperangan kabilah dan perkauman yang sempit sepertimana sebelum datangnya Islam. Seperti taufan kejahilan tentera Mongol, membawa wabak kebencian, kezaliman dan kejahilan. Seperti kegelapan yang menyelubungi dunia hasil kebangkitan Nazi Jerman, kebanggaan kaum dan keturunan sehingga menindas kaum serta bangsa yang lain. Ianya keutamaan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain yang dicapai melalui kekerasan dan kekuatan fisikal, suatu keutamaan yang dipaksa bukan yang dicapai secara konsensus.

Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin mereka, kesemuanya, selesa hidup sebagai jutawan. Walaupun dikelilingi masyarakat bangsa sendiri yang miskin dan merempat, mereka hidup senang lenang dengan harta bertimbun yang dikumpul hasil 'perjuangan' mereka. Bukan dari hasil perniagaan atau kepakaran mereka dalam bidang keusahawanan tertentu tetapi sebagai 'imbuhan perjuangan' yang menggunakan nama bangsa sebagai hujjah dan alasan. Menerima saham yang bernilai berpuluh juta ringgit kerana “Melayu itu miskin dan saya Melayu” kata mereka. “Saya terima atas nama Melayu, demi Melayu, mewakili Melayu”' sambung mereka lagi. Namun kekayaan mereka untuk diri mereka sendiri dan duit berjuta terus berada dalam simpanan mereka, tidak disalurkan kepada masyarakat Melayu miskin yang memerlukan.

Maka dengan itu, mereka ini bukan 'pejuang bangsa' namanya, sebaliknya pejuang yang memperalatkan bangsa demi perut sendiri! Mereka sanggup melihat bangsa mereka terus miskin supaya mereka akan terus mendapat manfaat dari keadaan ini. Mereka ingin 'perjuangan bangsa' diteruskan, dihayati dan diperjuangkan, supaya mereka terus menjadi penerima manfaat utama dari perjuangan tersebut. Dan bangsa mereka terus miskin sambil mereka terus bertambah kaya.

Selepas lebih 53 tahun negara kita ini merdeka, tidakkah jelas lagi wahai bangsaku yang ku sayangi, siapakah pejuang bangsa dan siapakah yang memperalatkan bangsa?Baca semua di sini.

1 ulasan:

  1. salam...
    org melayu skr keliru dgn pejuang bangsa dan peralat bangsa...sbb UMNO pandai bertopeng mngikut keadaan semasa...wallahua'lam

    BalasPadam