Jumaat, 22 Oktober 2010

Ucapan pemimpin Umno dan perwakilan menunjukkan Umno dalam keadaan bahaya, terdesak

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat melihat ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai kredit kepada perikatan itu, di samping dengan sendirinya mengakui kedudukan orang Melayu tidak akan terjejas sama sekali meskipun Barisan Nasional (BN) digantikan dari menerajui Putrajaya.

“Ya, saya menganggap bahawa Datuk Seri Najib mengakui kebolehhan dan keupayaan kami Pakatan menggantikan Umno dan Barisan Nasional di pusat... saya anggap mesej yang disampaikan beliau sebagai satu kredit,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insider.

“Saya secara peribadi melihat beliau terima hakikat akan kedudukan kami untuk menawan Putrajaya,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena merujuk kepada ucapan dasar kedua Najib selaku Presiden Umno semalam.

Mahfuz berkata, pengiktirafan itu terbukti dalam beberapa perkara yang ditekankan oleh Najib, yang juga Perdana Menteri.

Kata Mahfuz, pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno selama ini menakut-nakutkan bahawa hak dan kedudukan orang Melayu akan terjejas jika kerajaan pusat dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

“Jadi, kami melihat ucapan pemimpin dan perbahasan perwakilan menunjukkan Umno berada dalam kedudukan bahaya, terdesak untuk mengekalkan kuasa Putrajaya.

“Itu sebabnya Datuk Seri Najib sanggup mengatakan Umno mesti mempertahankan Putrajaya dalam keadaan walau apa pun yang terjadi,” kata Mafuz lagi yang turut khuatir dengan kata-kata “walau apa pun terjadi.”

Kata-kata itu, menurut beliau, Umno akan menggunakan apa jua cara sebagaimana pernah disaksikan di Perak awal tahun lalu.

“Mereka seolah-olah tidak akan meninggalkan kuasa pusat mereka dalam apa cara sekalipun walaupun ia bertentangan dengan lunas undang-undang,” katanya.

Tambah Mahfuz, oleh kerana Najib sendiri mengakui bahawa hak orang Melayu dan semua kaum “terkunci kemas” dalam Perlembagaan, maka “serahkan kunci kepada Pakatan Rakyat” untuk dijaga dengan baik dan adil.

“Umno dan BN sudah boleh jaga kunci, serahkan kunci itu kepada kami,” kata beliau lagi.-The Malaysian Insider-Najib akui hak Melayu dijaga jika pun Pakatan ganti BN di Putrajaya.

Berkaitan;

Najib:Apapun terjadi , Putrajaya mesti dipertahan-Malaysiakini.

Malaysia bukan harta pusaka Umno-Bn-Harakahdaily

1 ulasan:

  1. Salam...
    kalo Allah dah kata 'kun fayakun'..maka jadilah..spelah kt sbg mnusia yg tidak ada kuasa lg hina ini ingin menentangnya..wallahua'lam

    BalasPadam