Sabtu, 2 Oktober 2010

Mat Sabu cabar Putrajaya dedah jumlah kutipan 'cukai dosa'


Pemimpin PAS mencabar kerajaan pusat mendedahkan kepada umum jumlah kutipan wang cukai dosa sejak memerintah negara sepanjang lima dekad lalu ekoran tindakan Umno Pulau Pinang mempertikaikan ‘kesucian’ wang ihsan RM100.

Demikian dinyatakan oleh ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Mohamad Sabu dalam ceramah isu semasa di Markas PAS, Pongsu Seribu di sini malam tadi berkata, kerajaan wajib berbuat demikian.

Menurut beliau lagi, kerajaan wajib mendedahkan kepada rakyat negara ini supaya perbezaan antara wang dari cukai dosa seperti pungutan dari sumber judi, arak, cukai rumah urut da pusat hiburan dapat diketahui.

“Tolong hebahkan melalui media massa termasuk media milik BN bahawa sehingga tahun 2010 berapa pungutan dari Toto, Magnum, Kelab Lumba Kuda, Carlsberg serta rumah-rumah urut yang bertaburan dalam negara telah mereka kutip.

“Ke manakah hasilnya jika bukan disatukan sebagai dana disatukan.

“Dari hasil penyatuan inilah gaji kepada kakitangan awam turut dimanfaatkan.

“Oleh kerana itu, sepatutnya Umno dan BN jangan memainkan isu sumber judi yang boleh memudaratkan mereka sendiri,” katanya lagi.

Mohamad juga menyelar tindakan Umno Pulau Pinang yang menimbulkan isu sumber judi di Pulau Pinang bagi membuktikan kepada rakyat kononnya kerajaan negeri tidak layak untuk memerintah.

“Umno di Pulau Pinang sepatutnya sedar, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan apa-apa lesen judi.

“Kerajaan pusat yang mereka pimpinlah yang telah meluluskan lesen judi kepada Sports Toto, Magnum Corporation, Genting Berhad, agensi empat nombor ekor serta kilang-kilang yang mengeluarkan arak, pusat penjualan arak dan sebagainya,” katanya.

Mohamad berkata, seandainya isu ini terus dipermainkan oleh Umno dan BN, beliau yakin ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya “tamparan seperti meludah ke langit akan mengenai batang hidung mereka sendiri.”

Katanya lagi, tiada perbezaan antara wang ‘sin tax’ yang dipungut oleh kerajaan pusat yang disatukan dengan pendapatan yang diterima oleh mana-mana kerajaan negeri sekiranya ia tidak diasingkan.

“Dalam konteks kerajaan negeri Pulau Pinang, mereka telah menyatakan terdapat lebihan dari peruntukan sebanyak RM20 juta bagi program penghargaan warga emas.

“Hanya RM10.7 juta yang telah digunakan. Lebihan sebanyak RM9.3 juta lagi masih ada hasil dari sistem cekap, akauntabiliti dan telus yang dilaksanakan,” tegas beliau.

Tambah Mohamad, usaha yang diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kerusi Penaga, Datuk Azhar Ibrahim baru-baru ini supaya warga emas memulangkan wang penghargaan sebanyak RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri juga tidak akan berjaya mempengaruhi majoriti masyarakat Melayu.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan sebilangan warga emas yang telah dibawa ke Pusat Khidmat ADUN Penaga dalam program mengembalikan wang tersebut adalah warga emas yang tidak mendaftar dengan kerajaan negeri atau pun telah diperdayakan bagi retorik politik Umno dan BN.-The Malaysian Insider.

Akhbar harian pr0 Umno siarkan keputusan nombor ekor....tak berdosa ka?

Berkaitan;

Umno BN tidak tentang judi lulus lesen-Harakahdaily

1 ulasan:

  1. Salam...
    UMNO bebas utk menjaja cerita ttg ktidaktelusan kerajaan PR...pada hakikatnya teluskah mereka sms mereka memerintah negeri2 yg dipegang PR ini???wallahua'lam

    BalasPadam