Isnin, 25 Oktober 2010

Muhyiddin 'Galas' Projek Ke PRK Galas

Menjelang hari penamaan calon pilihan raya kecil Dun Galas, esok, kini kedua-dua parti sedang bersiap sedia mempamerkan kekuatan menjelang perarakan.

Bandar Gua Musang yang terletak hampir 200 kilometer dari Kota Bharu dan 300 kilometer dari Kuala Lumpur mulai dilimpahi manusia. Ramai yang tidak dikenali kelihatan di sana-sana.

Biar pun hari penamaan calon agak luar biasa kerana diadakan pada hari bekerja, namun ia tidak menghalang kedatangan tenaga kempen dari luar.

Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersebut dianggap banyak pihak sebagai tidak mesra pengundi. Mengambil kira hari mengundi juga jatuh pada hari bekerja, kerajaan negeri menjadikan 4 November ini sebagai cuti umum di Kelantan.

Manakala petugas parti di kalangan penduduk tempatan dan pembantu dari luar mulai memasang sepanduk dan lambang parti di kawasan mereka malam sehingga awal pagi tadi.

Semalam juga berakhir teka teki siapa calon Barisan Nasional (BN), apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof.

Pengumuman itu mengiyakan telahan yang dibuat banyak pihak sebelum ini, orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon bagi meneruskan cabaran merampas semula Dun Galas.

“Nampaknya usaha Ku Li untuk memastikan orang kanannya diberi tempat benar-benar menjadi kenyataan. Saya juga diberitahu Ku Li memberi kata dua itu kepada pemimpin kanan Umno di Kuala Lumpur.

“Difahamkan Ku Li hanya menerima pelantikan sebagai pengarah jentera pilihan raya BN sekiranya calon dipilih atas kehendaknya,” kata seorang aktivis Majlis NGO Kelantan.

Beliau juga mendakwa Ku Li menolak cadangan banyak pihak dalam Umno untuk memberi peluang kepadanya sebagai calon di Galas.

Katanya Ku Li sudah melihat dari awal lagi pengaruhnya tidak mampu lagi menarik simpati pengundi di Galas.

“Ku Li sudah tidak ada apa-apa kuasa dan kedudukan dalam Umno sekarang. Jadi sekarang tidak ada apa-apa yang mampu beliau janjikan kepada rakyat Galas.

“Lagi pun rakyat Gua Musang kenal siapa Ku Li. Kalau tanpa ada Kesedar yang bertanggungjawab membangunkan kawasan hulu Kelantan, tiada projek besar yang mampu dilaksanakan kerajaan pusat,” ujarnya lagi.

Muhyiddin juga seperti tidak serik apabila terus menabur janji ketika janji 2009 di Manek Urai belum membuahkan hasilnya.

Jambatan yang menyeberangkan Sungai Lebir di Kampung Manek Urai lama belum kelihatan selepas lebih setahun pilihan raya Dun berkenaan berlalu.

Semalam tiba-tiba Timbalan Presiden Umno itu mendakwa kerajaan pusat memperuntukkan RM180 juta bagi membina 1,500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Kata beliau rumah itu untuk disewakan dan dijual kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah.

“Projek PPR ini adalah satu nikmat besar kepada rakyat di Gua Musang, kalau nak tunggu kerajaan negeri melaksanakannya, ia adalah sesuatu mustahil, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.

“Walaupun kerajaan Pusat membelanjakan RM180 juta bagi membangunkan projek ini, namun paling istimewa rakyat berpeluang memilikinya kelak pada harga kira-kira RM35,000 seunit atau menyewanya pada kadar RM124 sebulan,” katanya ketika melancarkan Projek PPR Gua Musang di Kompleks Sukan Kesedar semalam.

Gimik kerajaan BN itu dianggap banyak pihak sebagai ketinggalan jauh di belakang memandangkan kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lalu menyediakan lebih 1,500 lot rumah di Tanah Putih.

Kini Tanah Putih sudah bertukar dari hutan belantara menjadi penempatan tersusun. Isunya sekarang rakyat perlu memiliki tanah untuk membina kediaman sendiri dan bukan lot di atas angin.

Lagi pun tidak ramai yakin kemampuan Muhyiddin untuk menunaikan segala janji tersebut ketika kantung duit kerajaan BN sudah kering.

Ada pihak berhujah kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak kini mengharapkan sumbangan dari duit judi Nombor Ekor, Magnun dan apa-apa sahaja bentuk perjudian bagi menampung dana kerajaan.

Kalau sebelum ini keputusan bagi setiap cabutan numbor dibuat sekali sebulan, namun sekarang sampai enam atau tujuh kali dalam tempoh tersebut. Dan setiap cabutan dibuat pengusaha tempat perjudian dapat mengumpul pendapatan sehingga RM7 juta.

Seorang bekas pegawai polis mendakwa tidak ramai yang tahu kepincangan pengurusan kewangan negara di bawah Najib sekarang.

“Pemimpin BN hanya menuduh kerajaan Pulau Pinang menggunakan hasil duit judi untuk warga emas, sedangkan sumber pendapatan kerajaan BN diambil dari judi disenyapkan,” katanya.

Mengambil kira banyak kepincangan urus tadbir negara dan kebimbangan Najib kemaraan Pakatan Rakyat menjejak kaki ke Putrajaya pada pilhan raya umum ke-13, bebanan berat sedang dipikul Abdul Aziz di Galas sekarang.

Abdul Aziz yang sekadar berpendidikan setakat SPM tidak mampu untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku dalam negara kepada rakyat. Pengundi Galas perlu mengambil kira perkara ini.

Pilih pemimpin yang tidak menghiraukan soal dosa dan pahala bakal mengundang bala kepada penduduk Dun Galas.-Harakahdaily Umno tabur impian rumah rakyat di Galas.

Baca juga;

Umno peralat JHEOA kawal penempatan Orang Asal?-Harakahdaily

Muhyiddin rasmi projek perumahan rakyat RM300 juta di Galas-Berita harian online

1 ulasan:

  1. salam...
    slamat berjuang bt petugas2 prk Galas..mga dpmdhkan urusan...bt rakyat di Galas, undilah parti yg mabawa kpd ISLAM..kelak Allahakan tnya stiap apa yg anda undi...wallahua'lam

    BalasPadam