Isnin, 16 Ogos 2010

MAS rugi RM8 bilion , siapa lindungi Tajudiin

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoal pihak yang melindungi bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli menyebabkannya bebas daripada pendakwaan yang mengakibatkan kerugian syarikat itu sebanyak RM8 bilion.

Beliau ketika mendedahkan dokumen berhubung kerugian syarikat tersebut mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan tersebut sebaliknya mendedahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM).

"Siapa sebenarnya yang melindungi penjenayah ini dan kes ini daripada disiasat dan siapakah yang melindungi kes ini untuk didakwa kerana ia merupakan kes yang cukup besar.

"Laporan yang dibuat MAS kepada SPRM kenapa tindakan tidak diambil terhadap Tajuddin Ramli. Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tetapi dia dedahkan aduan itu kepada JSJK PDRM," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mendedahkan sepucuk surat oleh ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusuff bertarikh 26 Mac 2007 yang menyarankan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

"Datuk Ramli Yusuff mengadakan pertemuan khas dengan perdana menteri ketika itu yang mengatakan bahawa dalam surat ini membuktikan memang ada satu asas yang kukuh untuk mendakwa Tajuddin Ramli.

“JSJK juga membuat beberapa saranan bentuk dakwaan tetapi tidak ada satu pun tindakan drastik dibuat terhadap kes ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM memberikan jawapan yang bertangungjawab mengenai tindakannya mendedahkan aduan MAS kepada JSJK PDRM.

"Saya meminta SPRM jawab persoalan kenapa dedahkan makulmat berkaitan MAS kepada pihak yang diadu iaitu JSJK Bukit Aman yang bagi kita merupakan satu tindakan yang sangat tidak berintegriti dan membahayakan orang yang membuat aduan," katanya lagi.

Salahuddin yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa khas mengenai rasuah SPRM juga memberitahu, beliau sedang menghubungi pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Seri Azmi Khalid bagi meminta satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan kes tersebut.

Beliau juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan siasatan terhadap kes berprofil tinggi ini.

"Saya rasa pedana menteri perlu campur tangan segera dengan mengarahkan satu siasatan dilakukan dengan serius," katanya.

Dokumen yang didedahkan beliau kepada wartawan itu turut mengandungi aduan MAS kepada polis dan SPRM pada 2009 berhubung kerugian yang didakwa berpunca daripada Tajuddin.-Harakahdaily. Baca juga kisah yang ada kaitan dengan Umi Hafilda di sini.

Berkaitan;

Pas:Mengapa tiada tindakan terhadap Tajudin Ramli?-Malaysiakini

Pas dakwa SPRM bocor maklumat , jejas siasatan kerugian MAS Rm 8 bilion-Malaysian Insider

1 ulasan:

  1. Salam..
    kalo penyalahgunaan yg membabitkan UMNO atau mereka yg berkaitan dgn mereka...slalunya kes2 ni SPRM pun mcm malas nak layan..tpi kalo kes2 yg bkaitan dgn PR...isu yg kecil2 pun trut dipandang serius...ni namanye jalankan tugas berat sbelah..patutnya mereka perlu telus dlm mjalankan amanah..bukankah itu moto mereka???wallahua'lam

    BalasPadam