Selasa, 10 Ogos 2010

Awang Selamat Dayus , Tali Barut Umno

PAS menolak tuduhan bahawa ia parti dayus sebaliknya Awang Selamat adalah seorang dayus dan bacul sehingga tidak berani menzahirkan identitinya yang sebenar.

“Beliau takut menzahirkan siapa sebenarnya beliau, sama ada lelaki atau pondan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Mengenai kemarahan Awang kerana PAS berkawan dengan DAP, tetapi menolak Umno, beliau berkata, PAS mengibaratkan Awang Selamat sudah tidak normal dan hilang fikiran ketika mengeluarkan pandangan mengenai perjuangan PAS.

“Beliau memang istiqamah melawan PAS sejak daripada PAS bersendirian sehingga PAS bersama Pakatan,” katanya.

Menurutnya, Awang marah bukan kerana PAS berkawan dengan DAP, tetapi kerana banyak lombong emas Awang semakin terkambus dan tertutup sehingga perut dan temboloknya semakin kurus.

“Dia akan mengadu domba supaya Pakatan Rakyat berpecah maka BN akan meneruskan tradisi menindas rakyat dan memiskinkan rakyat. Mereka hendak memfaqirkan rakyat sama ada harta atau agama,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, Awang begitu marah kerana lamaran partinya tidak berbalas, cintanya dengan PAS cinta empat segi.

PAS, tegasnya tidak berminat menerima pinangan Umno kerana PAS sudah ada teman yang lebih baik, kebetulan Umno pula sedang mengidap penyakit berjangkit seperti rasuah, moral mengkhianati harta rakyat dan sebagainya.

“PAS ingin mengigatkan kepada Awang Selamat, dayus ialah orang yang takut untuk menegur perkara munkar. Contohnya suami membiarkan isteri mendedahkan aurat,” ujarnya.

Tambahnya, Awang Selamat termasuk dalam golongan dayus dan pondan kerana tidak berani menegur pimpinan Umno yang redha dengan Yahudi APCO.

Katanya, Awang juga dayus kerana senyap sunyi ketika khazanah negara habis difaraid oleh pemimpin negara, ketika tanah negara seluas 217 hektar difaraid kepada Singapura.

Awang menikus ketika Selangor di bawah Umno menutup surau al Rahman di Seksyen 8 Shah Alam dan Surau Ikhwan di Puchong Perdana, katanya.

“Kenapa Awang marah sangat, PAS berkawan dengan DAP? Kalau alasan DAP bukan parti Melayu, apakah MCA, Gerakan sebuah parti Melayu?” soalnya.

Beliau berkata, apa makna umno parti Melayu tetapi dayus membela agama dan bangsa di mana sejarah dayus Umno yang gagal bela Melayu dan Islam sudah banyak terbukti.

Katanya lagi, jika hendak bercakap soal siapa yang membela Islam dan bangsa di negara ini, maka PAS boleh mendabik dada kepada Umno dan Awang Selamat bahawa PAS lebih bertanggungjawab kepada Islam dan bangsa.

Justeru, ujarnya PAS berpandangan Awang Selamat ialah seorang tali barut kepada Umno yang banyak mencemarkan kemuliaan Islam.

“Orang seperti Awang Selamatlah menyebabkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak dapat faham Islam walaupun berkawan dengan Awang Selamat. Sahlah Awang tidak selamat lagi,” ujarnya.-Harakahdaily.

1 ulasan:

  1. Hakikat sebenar nye Awang Selamat memusuhi Pas kerana Islam yg di perjuangkan oleh Pas.

    BalasPadam