Selasa, 17 Ogos 2010

Dalang pelacuran: Timbalan Menteri Wilayah Saravanan nafi, motif politik

Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan menganggap laporan kononnya beliau merupakan dalang kegiatan tidak bermoral termasuk pelacuran dan mengedar dadah sebagai satu tindakan mahu memburukkan nama dan menghancurkan kerjaya politiknya. “Saya melihat tindakan mereka ini bermotifkan politik... mereka mahu merosakkan nama saya, MIC,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau yang pulang dari Chennai malam tadi berkata tindakan membangkitkan perkara seumpama itu dan mengaitkananya dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral bukan sesuatu yang baru.

“Mereka melakukan macam ini sudah lebih 10 tahun, saya percaya mereka akan terus buat seperti ini. Jadi saya tidak risau...,” kata Ahli Parlimen Tapah ini.

Wakil rakyat penggal pertama itu juga merupakan Timbalan Menteri Wilayah Persektuan dan Kesejahteraan Bandar.

Semalam Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berpendapat dakwaan itu sebagai satu tohmahan, tetapi akan tetap menyiasat laporan kononnya seorang timbalan menteri merupakan dalang kegiatan pelacuran.

Laporan dibuat oleh seorang ahli politik berusia 50-an dan berasal dari Ipoh, Perak di ibu pejabat polis daerah Brickfields kira-kira pukul 11.08 malam Sabtu lalu.

Bakri berkata beliau menganggap laporan itu sebagai satu tohmahan kerana ia bukannya dibuat oleh mangsa sendiri tetapi oleh orang ketiga yang mendakwa mendapat emel daripada mangsa.

“Kita tidak tahu siapa mangsa yang didakwa itu. Namun kita akan tetap menyiasat, dan jika perkara itu betul, kita akan lakukan tindakan seterusnya,” katanya.

Ahli politik Pakatan Rakyat itu membuat aduan mendakwa Saravanan terlibat dalam kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis terdiri pelajar kolej bagi tujuan tidak bermoral.

Ahli politik terbabit membuat laporan polis berdasarkan surat dan emel yang diperoleh daripada seorang gadis yang mendakwa menjadi mangsa timbalan menteri itu, yang turut didakwa terlibat dalam kegiatan dadah dan menggalakkan gangsterisme sekitar tahun 2000 dan 2001.

Bakri berkata polis belum bercadang untuk memanggil timbalan menteri berkenaan untuk memberikan keterangan.

Ditanya sama ada polis telah memanggil beliau untuk siasatan, Saravanan berkata, beliau baru kembali dari India.

Bagaimanapun kata Saravanan, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Biar polis menjalankan siasatan, lagi pun ini bukan kali pertama dakwaan macam ini dibangkitkan,” kata beliau merujuk kepada dakwaan yang pernah dibangkitkan ketika namanya dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya umum 2008.

Malah isu yang sama dibangkitkan ketika pemilihan parti September lalu.

“Walaupun ini bukan dakwaan baru, tetapi saya pelik mengapa ia dibangkitkan semula sekarang,” kata beliau yang mempertahankan jawatan Naib Presiden MIC tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada terdapat musuh dalam parti yang cuba mengungkitkan isu ini semula, Saravanan berkata, beliau tidak menyedari kemungkinan tersebut.-Malaysian Insider Saravanan :Dakwaan saya dalangi aktiviti tidak bermoral motifkan politik.

1 ulasan:

  1. Salam...
    kalo xbuat xyah takut...wallahua'lam

    BalasPadam