Khamis, 12 Ogos 2010

ISA:GMI, Suaram minta Suhakam siasat tindakan polis

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suaram, dua badan bukan kerajaan hak asasi, hari ini menggesa Suhakam mengadakan siasatan terbuka berhubung tindakan polis menghalang perhimpunan aman sempena lima dekad penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos lalu.

Gesaan itu dibuat dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suhakam di sini, pagi ini.

GMI dan Suaram turut menuntut laporan akhir diserahkan kepada kerajaan agar diambil tindakan disiplin terhadap pihak polis.

Malah kedua-dua NGO itu juga mendakwa tindakan polis menangkap 39 orang di Petaling Jaya, Pulau Pinang, dan Kelantan sebagai tidak relevan dan mala fide.

Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Antara yang ditahan pada perhimpunan yang disertai kira-kira 100 orang itu ialah Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan.

Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah yang menerima memorandum itu mengakui pihak berkuasa negara ini memandang sepi peranan suruhanjaya itu dalam menegakkan hak asasi manusia.

Menurut Sha’ani, pihak berkuasa seperti polis hanya berpendirian melaksanakan undang-undang yang ada dan bukannya mengambil kira hak asasi manusia.

“Mereka berpendirian melaksanakan undang-undang sedia ada. Saya tak merasakan ada percubaan untuk ambil kira hak asasi manusia dan anggap sebagai satu yang tidak bermakna,” kata Sha’ani yang turut berada di Padang Timur dekat bangunan Amcorp pada 1 Ogos lalu sebagai pemerhati.

Menurut Sha’ani, sebagai pesuruhjaya, beliau akan terus berjuang dalam menyedarkan masyarakat dan membantu kerajaan mempertingkatkan tahap hak asasi manusia negara ini.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim menganggap Ketua Polis Petaling Jaya ASP Arjunaidi Mohamed sebagai ‘pemenang’ anugerah pencabul hak asasi manusia.

“Pada pukul 8 malam, 1 Ogos, kebanyakan negeri telah menghadapi intimidasi yang tinggi daripada polis.

“Namun pemenang sebenar pencabulan hak asasi tersebut adalah OCPD Petaling Jaya, yang menunjukkan sikap tidak profesional dalam menangani situasi pada hari tersebut,” ujarnya.

Koordinator Suaram Nalini Elumalai yang turut ditahan pada malam itu berharap suruhanjaya itu akan mengaktifkan semula Bahagian Pembelaan Hak Asasi untuk melindungi semua aktivis dan pendukung hak asasi daripada keganasan, intimidasi dan keganasan pihak polis.

“Mereka (polis) sengaja menangkap untuk menakut-nakutkan kami.

“Setelah ditangkap kami boleh dituduh di mahkamah. Lepas ditangkap juga, syarat ikat jamin ialah tidak boleh terlibat dengan perhimpunan lagi.

“Suhakam perlu aktif berjuang untuk mengembalikan bahagian ini untuk melindungi aktivis,” katanya.-Malaysian Insider.

Berkaitan;

Protes anti ISA: Mangsa adu pada Suhakam-Malaysiakini

GMI mahukan sokongan Selangor gesa mansuh ISA-Malaysian Insider

1 ulasan:

  1. Salam...
    perjuangan tetap akan diteruskan walaupun penuh dgn onak dan duri...prinsip hidup pejuang...wallahua'lam

    BalasPadam