Selasa, 17 Ogos 2010

Kontrak RM77 juta upah Apco tertinggi di dunia


Malaysia menjadi negara yang membayar yuran perkhidmatan tertinggi di dunia kepada syarikat pro Zionis-Israel, Apco Worldwide sebanyak RM77 juta.

Malah setelah syarikat tersebut dikecam berhubung kaitannya dengan konsep One Israel dan hubungan rapat pimpinan tertinggi syarikat itu dengan Zionis-Israel, Kerajaan Malaysia di bawah Umno-Barisan Nasional, menyambung semula kontrak perkhidmatannya awal Julai lalu.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, daripada maklumat yang beliau perolehi daripada seorang bekas duta Amerika Syarikat, Malaysia membayar upah paling mahal kepada syarikat itu.

“Saya dimaklumkan oleh seorang bekas duta Amerika Syarikat, daripada sebanyak lebih 50 cawangan Apco di seluruh dunia, tidak ada satu pun yang menerima bayaran bernilai RM77juta, yang paling tinggi ialah USD2 juta atau kira kira RM7 juta sahaja. Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang amat merisaukan,” kata Azan kepada Suara Keadilan.

Apco dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak 15 Julai 2009 bagi memulihkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa melalui konsep 1Malaysia.

Setelah lebih setahun gagasan 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri dan jutaan ringgit dibelanjakan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akur kempen itu belum mencapai sasaran dan masih tidak difahami rakyat.

Azan berkata, kerajaan seharusnya menghentikan khidmat Apco Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membina konsep 1Malaysia, tetapi malangnya kontrak perjanjian dengan syarikat pro-Zionis-Israel itu disambung semula.

“Maknanya, ada agenda tersembunyi, meskipun kelemahan berhubung konsep 1Malaysia ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, tetapi macam ada agenda lain apabila kontrak ini disambung. Kita ragu RM77 juta yang digunakan untuk tujuan apa. Macam mana tak tercapai sedangkan kita bayar RM77 juta, mengapa rakyat masih tak faham tentang konsep 1Malaysia.

“Kesan yang di bawa 1Malaysia, yang diperkenalkan oleh syarikat Yahudi ini menunjukkan kesan negatif sehinggakan tidak ada penerimaan yang tepat oleh rakyat Malaysia berhubung apa sebenarnya konsep 1Malaysia, sedangkan pemimpin nombor satu dan nombor dua juga bercanggah dari sudut penerimaan.

“Berpuluh juta dibelanjakan untuk program dan kempen 1Malaysia sedang-kan hasilnya, rakyat menjadi keliru. Kalau TPM sendiri keliru, bayangkan bagaimana pula dengan rakyat terbanyak,” kata Azan.

Menurut Azan, kenyataan Dr Mahathir dan Muhyiddin, 3 Ogos lalu yang secara terbuka mengakui kelemahan 1Malaysia dilihat memberi tamparan hebat kepada Najib.

Malah katanya, Muhyiddin seolah-olah cuba mengambil kesempatan memburukkan konsep 1Malaysia semasa ketiadaan Perdana Menteri, yang menyaksikan hubungan yang semakin keruh antara kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu.

“Kita nampak gambaran memang begitu, mengapa Timbalan Perdana Menteri, selepas Najib bercuti, terus keluar kenyataan yang bercanggah, nampak macam disengajakan dan seperti ada elemen yang disengajakan untuk memburukkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri,” katanya lagi.-Suara-Keadilan.com.

1 ulasan:

  1. Salam...
    depa pdulik apa rakyat faham ke x gagasan 1 Malaysia...yg penting mereka dpt sekang pihak pembangkang dr trus mjajah negeri2 di Malaysia...stiap sen duit yg dblanjakan utk membuat kebaikan atau kerosakan dimuka bumi Allah akan soal...so, bsedialah dgn soalan tersebut dan hadiahnye skali...wallahua'lam

    BalasPadam