Isnin, 3 Oktober 2011

Mana satu Najib? Mahkamah Perancis atau Mahkamah Malaysia?

Scorpene:Najib akan disepina Mahkamah Perancis -Suaram-Keadilan Daily

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan disepina di mahkamah Perancis bagi membantu perbicaraan rasuah pembelian kapal selam Scorpene. Cytnhia berkata, ia berhubung urusniaga membabitkan pemberian komisen kapal selam berkenaan yang dilakukan pada 2002 ketika Najib menjadi menteri pertahanan.
“Kita ada bukti cukup kuat untuk memulakan perbicaraan, individu terlibat akan disepina ke mahkamah,” kata Cynthia.
Katanya,  perbicaraan itu tetap akan berlangsung di Perancis walaupun terpaksa ditunda daripada tarikh asal iaitu September lalu.
“Kita jangkakan perbicaraan boleh bermula September, tetapi peguam memberitahu ada sedikit masalah di Perancis kerana ada pihak cuba halang kes ini daripada diteruskan.
“Kita tidak tahu samada pihak di Perancis atau pihak dari Malaysia, kita tunggu. Kes ini akan berlangsung,” ujarnya ketika ditemui Suara Keadilan Jumaat lalu.
“Peranan saya sebagai panel, peguam akan beritahu mengenai kes, dan saya akan beritahu mengenai isu-isu rasuah yang melibatkan pembelian peralatan keselamatan dan pertahanan negara,” tambah beliau.
Menurut Cynthia, selain menghadiri forum tersebut, beliau dijadualkan bertemu dengan peguam-peguam yang dilantik Suaram bagi mengetahui perjalanan kes.
Jumaat lalu, beliau berlepas ke London bagi menghadiri forum di Universiti Holborn, bagi memberi penerangan kes itu kepada hadirin di sana tentang perjalanan kes rasuah itu bersama peguam kedua yang dilantik Suaram, Joseph Breham.
Selaku ahli panel yang bertindak mewakili rakyat Malaysia, beliau turut mendedahkan rasuah lain yang turut melibatkan pembelian peralatan pertahanan negara.
Cynthia juga dijadual menghadiri  mesyuarat dengan tiga peguam yang terlibat dalam kes ini pada hari ini dan esok.
“Kita akan bincangkan secara mendalam selain akan ditemuramah oleh media dari Perancis,” katanya.

Permohonan Najib-Rosmah diputuskan Khamis-Malaysiakini

Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, untuk mengketepikan sepina yang mahu mereka tampil memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi pembelaan akan diputuskan pada Khamis ini.

Sehubungan itu, hakim Makamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah juga mengarahkan perbicaraan kes liwat II itu bersambung esok.

Pada perbicaraan hari ini, peguambela utama Karpal Singh berkata sepina itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Karpal, semestinya perdana menteri membincangkan pelbagai perkara dalam tempoh setengah jam hingga satu jam pertemuan itu.

Katanya, adalah pelik bagi Saiful tidak melaporkan dakwaan kejadian liwat itu kepada pihak polis tetapi memilih untuk berjumpa dengan Najib.

"Bantuannya (Najib) diperlukan. Keterangannya penting kerana sebagai orang Islam, beliau pergi ke Permatang Pauh pada Ogos 2008 dan menafikan beliau ada kena mengena dengan kematian (warga Mongolia) Altantuya (Shaariibuu)."

Sementara itu, menurut Karpal lagi, pertemuan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan rakan Saiful, Mohd Rahimi Osman, penting bagi membela Anwar.

Katanya, pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Pereira juga telah merakamkan kenyataan daripada Rosmah.

"Ini tidak dinafikan oleh Rosmah."

Karpal berkata terdapat 112 kenyataan yang ditandakan sebagai dokumen istimewa dan pihak pembelaan tidak mempunyai akses terhadapnya.

"Justeru, Rosmah mesti tampil ke mahkamah kerana itu sahaja peluang yang tinggal bagi Anwar.”

"Kami berdoa Yang Arif menolak permohonan yang dibuat oleh Najib dan isterinya,” kata Karpal sambil menambah perdana menteri juga telah menimbulkan bukti lain pada pertemuan tersebut.Sementara itu, berdasarkan penghujahan yang dibacakan di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah, peguam pasangan itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata saksi yang dipanggil harus mempunyai maklumat yang relevan.

Dalam kes ini, menurut beliau keterangan yang akan diberikan perdana menteri dan isteri sekiranya menjadi saksi tidak akan membantu perbicaraan.

"Persoalan sama ada mereka boleh beri maklumat yang relevan dan bukan disebabkan pendakwaraya menawarkan mereka sebagai saksi.

"Pada pandangan saya, mana-mana pihak tidak ada hak secara automatik untuk memanggil seseorang sebagai saksi. Ia adalah bidang kuasa mahkamah untuk menentukan saksi yang dicadangkan adalah relevan sebelum memberikan bukti. Ini bagi memastikan bukti maklumat tidak menyimpang daripada isu perbicaraan," kata Hisyam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan