DAP gesa polis siasat tawaran'wakil PM'-Harakahdaily
Pihak polis digesa menyiasat dengan terperinci pengakuan pihak-pihak
tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri yang menawarkan
pelbagai ganjaran kepada Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang supaya
meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.
Siasatan terperinci pihak polis mengenai dakwaan itu amat perlu bagi
mendapatkan kesahihannya kerana jika benar pihak-pihak terbabit mewakili
Perdana Menteri, ia ternyata membabitkan penyalahgunaan kuasa yang amat
serius dari Perdana Menteri.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee
berkata, dalam masa yang sama, Pejabat Perdana Menteri perlu menjawab
dengan segera dakwaan pihak-pihak terbabit yang mendakwa mewakili
Perdana Menteri.
Menurut beliau, sekiranya mereka berbohong atau menipu, tindakan
keras perlu dikenakan terhadap pihak-pihak terbabit kerana melakukan
kesalahan besar menyamar sebagai wakil kepada Perdana Menteri.
Katanya, Pejabat Perdana Menteri tidak seharusnya mengambil masa yang
lama untuk menjawab perkara itu kerana ia merupakan perkara amat serius
yang membabitkan kepentingan negara.
"Sekiranya benar pihak-pihak terbabit itu mewakili Perdana Menteri,
Perdana Menteri perlu didakwa oleh Peguam Negara kerana telah
menyalahgunakan wang kerajaan untuk kepentingan politiknya," katanya
ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Adun Bentayan, Gwee
Tiong Hiang hari ini mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan oleh
pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri supaya
meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.
Dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, beliau
menjelaskan, beliau telah ditawarkan RM150,000 wang tunai, 50 ekar
tanah, sekurang-kurangnya RM5,000 elaun bulanan tambahan, sebuah pusat
perkhidmatan dan seorang pembantu peribadi jika bersetuju melompat
parti.
Menurutnya, seorang lelaki yang pertama kali menghubunginya melalui
telefon pada 26 September lalu dan mendakwa sebagai setiausaha agung
persatuan klan Wee Johor Baru, juga memberi jaminan bahawa Gwee akan
diberi sokongan jika bertanding menentang DAP dalam pilihan raya umum.
Pada sidang akhbar itu, Adun yang mewakili salah satu kerusi dalam
Parlimen Bakri, Muar, Johor itu turut mendedahkan trankrip rakaman
perbualan telefon antara beliau dengan 'ejen' terbabit.
Katanya, 'ejen' tersebut yang mendakwa mewakili Perdana Menteri
berkata, wang tawaran itu akan datang dari pusat, tetapi akan disalurkan
melalui persatuan berkenaan.
Pada sidang akhbar itu juga, Gwee turut memperdengarkan satu lagi
rakaman perbualan antara beliau dan pihak terbabit dalam bahasa Mandarin
pada 30 September lalu.
Menurut Tony, pendedahan yang dibuat oleh Gwee itu sememangnya
sesuatu yang serius yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak terbabit.
Tindakan pihak terbabit itu, tegas beliau, adalah satu tindakan yang
amat tidak berintegriti dan tidak beretika, tetapi pernah dilakukan oleh
pihak tertentu sebelum ini untuk mempengaruhi beberapa orang wakil
rakyat dari Pakatan Rakyat termasuk dari DAP, termasuk yang berlaku di
Perak.
"Tetapi saya yakin, wakil-wakil rakyat dari DAP yang berada dalam DAP
sekarang mempunyai pendirian yang teguh, sama seperti Gwee, yang tidak
akan terpengaruh dengan tawaran sedemikian," katanya yang juga Ahli
Parlimen Petaling Jaya Utara.
Selain wakil-wakil rakyat dari DAP, beliau juga yakin wakil-wakil
rakyat yang berada dalam parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat sekarang
termasuk dari PAS dan PKR tidak akan terpengaruh dengan tawaran-tawaran
istimewa dari pihak tertentu supaya mereka keluar dari Pakatan Rakyat.-Harakahdaily
Perak yang asalnya diperintah PR tumbang kerana jual-beli adun PR.Setahun PR perintah Perak dah bertukar tangan kepada BN setelah 3 Adun PR lompat keluar parti jadi Bebas sokong Umno-BN.Dua adun daripada PKR dan satu daripada Dap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan