Khamis, 20 Oktober 2011

Kita dapat projek RM10 bilion

Malaysia telah mendapat projek infrastruktur bernilai RM10 bilion di Bangladesh yang akan dilaksanakan mulai awal tahun depan sehingga antara dua hingga lima tahun akan datang, kata Duta Khas Malaysia, Datuk Seri S. Samy Vellu di sini hari ini. Malaysia dan Bangladesh telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memudahkan pelaksanaan projek berkenaan di sini semalam.
Dokumen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina oleh Samy Vellu di sini esok.
Samy Vellu, yang kini dalam lawatan kerja empat hari ke Bangladesh berkata, projek itu termasuk projek perumahan, perbandaran satelit, jejambat, rawatan air serta loji pemprosesan kumbahan.
Katanya, projek pertama melibatkan pembinaan 161 blok pangsapuri 16 tingkat bernilai hampir RM3 bilion di Uttara, dekat sini, yang akan dimulakan awal tahun depan.
"Kedua-dua kerajaan telah menandatangani MoU itu selepas mengadakan perundingan selama enam bulan. Ia merupakan kejayaan yang membanggakan Malaysia," kata Samy Vellu selepas menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia di sini.
Kerajaan Bangladesh diwakili Menteri Negara bagi Perumahan dan Kerja Awamnya, Abdul Mannan Khan dan Menteri Negara bagi Kerajaan Tempatan, Kerajaan Luar Bandar dan Koperasi, Jahangir Kabir Nanok memeterai perjanjian itu.
Samy Vellu berkata, kerja-kerja bagi projek pangsapuri itu dijangka bermula beberapa bulan selepas memeterai perjanjian antara agensi kerajaan kedua-dua negara.
Sebuah lagi projek yang dijangka bermula tahun depan ialah projek jejambat Jalan Poltan-Mawa empat lorong sejauh 10.8km bernilai RM1 bilion, katanya.
Projek lain termasuk pembinaan rumah mampu dimiliki bagi setinggan dan satu perbandaran satelit baharu di atas tanah 400 hektar di Kamrangichar dan pembangunan yang serupa yang lain di Mohammadpur di sini.
"Malaysia akan turut membina telaga Dhalla-Jamirta bagi membekalkan air bersih ke Dhaka," katanya.
Beliau menambah beberapa syarikat Malaysia telah menunjukkan minat untuk mengambil bahagian di dalam projek bernilai RM10 bilion itu.
Samy Vellu berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan menjadi agensi pengawasan dan pelaksanaan bagi projek yang dilaksanakan secara bersama dengan jabatan berkenaan di Bangladesh. - Bernama

Lepas tu baca berita fail 16 september 2011 tanpa prasangka
 
PM Bangladesh akui rakyatnya dapat hak mengundi di Malaysia-KeadilanDaily

Norutul Ilham) KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi.
“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.
“Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.
Keratan laman web rasmi Pejabat PM Bangladesh
Beliau berkata demikiana apabila diminta mengulas pengakuan Sheikh Hasina yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd - laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.
Mengikut laman itu, Sheikh Hasina berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.
Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.
Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan