PAS bimbang pengagihan bantuan RM500 kepada isi rumah yang
berpendapatan kurang RM3,000 seperti diumum Perdana Menteri dalam Bajet
2012, bersifat 'kronisme dan akan berlaku ketirisan'.
Bercakap sewaktu membahaskan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini, Dr
Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) berkata, sesuatu yang amat sukar bagi
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan mereka yang
benar-benar layak menerimanya.
Ia kerana LHDN tidak mempunyai rekod pendapatan isi rumah untuk
rakyat yang tidak layak membayar cukai, dan pada masa yang sama sangat
ramai yang layak menerima bayaran tersebut.
"Kalau 40 peratus dari rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah
di bawah RM1,500 sebulan, tentulah yang layak menerima bayaran RM500
ini seperti disebut dalam ucapan Perdana Menteri, adalah 53 peratus dari
rakyat Malaysia, ini jumlah sangat besar.
"Jelas, pengagihan oleh LHDN ini akan menjadi satu mimpi ngeri kepada
pegawai dan kakitangan LHDN," katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan
Muslimat PAS Pusat.
Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 mengumumkan kerajaan akan
memberikan bantuan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang
RM3,000 sebulan.
Pembayaran itu akan dibuat bermula Januari 2012 yang akan dilaksanakan oleh LHDN sebagai agensi utama.
Agensi lain turut terlibat adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara serta POS Malaysia.
LHDN juga difahamkan turut mengguna pakai sistem pangkalan data
e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan maklumat
rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan terbabit.
Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, Pakatan Rakyat akan memerhati
mekanisma penyampaian bayaran tersebut dan akan memberitahu kepada
rakyat jika ia mirip kepada kronisme dan berlaku penyelewengan.
"Yang Dipertua, lebih mudah untuk mengagihkan wang ini sekiranya ahli
parlimen BN diberi wang cash, dibawa dalam guni dan pergi setiap
kampung.
"Untuk setiap dua orang, seorang layak kerana 50 peratus rakyat layak
dapat. Baru kita dapat namakan bajet Santa Claus," sindirnya.-Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan