Rabu, 13 Januari 2010

Kesan Pendedahan Blogger: Makanan Asrama Hari Cuti Dikembalikan

Beberapa hari yang lalu aku ada menulis tentang kezaliman Kementerian Pelajaran yang menghadkan makanan asrama pelajar sekolah kepada 200 hari setahun daripada 250 hari tahun-tahun sebelumnya. Posting aku itu bertajuk 'Umno Juara Rakyat: Tiada lagi makanan Asrama Sabtu/Ahad'.Perkara ini turut didedahkan oleh blogger-blogger yang lebih berpengalaman dan inilah hasilnya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia Online;

Selepas mendapat bantahan daripada ibu bapa dan para guru, jumlah hari penyediaan makanan bagi sekolah asrama ditetapkan selama 240 hari dalam setahun.

Ketetapan terbaru itu menyaksikan pengurangan hanya 10 hari berbanding pengurangan 50 hari yang hendak dilaksanakan sebelum ini.

Pada masa sama, rancangan makanan tambahan (RMT) untuk murid miskin khususnya di kawasan pedalaman juga dikekalkan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak kementerian mengambil kira beban ibu bapa dan keselamatan para pelajar.

"Beberapa perkara menjadi asas penilaian bagi menetapkan tempoh 240 hari antaranya soal keselamatan pelajar dan juga kos yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa.

"Bagi murid yang tinggal di pedalaman ia sangat membebankan mereka dan kami prihatin mengenai rintihan itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekecewaan ibu bapa ekoran keputusan Kementerian Pelajaran membuat pemotongan terhadap peruntukan tahunan ke sekolah-sekolah sehingga menyebabkan dana 16 jenis bantuan yang sebelum ini disalurkan kepada pihak sekolah terpaksa dikurangkan.

Menurut Mohd. Puad, dengan keputusan terbaru itu, jumlah hari bagi pelajar tinggal di asrama juga ditetapkan selama 240 hari setahun dan bukannya 200 hari seperti arahan awal dalam surat pekeliling yang dikeluarkan pada Disember lalu.

Tambahnya, surat pekeliling bagi memaklumkan keputusan terbaru itu telah dihantar kepada semua pengarah pelajaran negeri pada Jumaat lalu. Baca di sini

Pendedahan awal ialah daripada blog Pak Teh dan seterusnya oleh Blog Penarik Beca dan disebarkan oleh lain-lain blog yang tidak bergaji tapi mereka tetap memperjuangkan hak rakyat. Satu bukti bahawa blogger tidak berbohong dalam isu ini.

Kalau Kementerian Pelajaran lebih ada hati kemanusiaan kembalikan kepada 250 hari seperti tahun-tahun sebelumnya jangan berkira sangat dengan budak-budak sekolah yang tinggal di asrama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan