Selasa, 31 Mei 2011
'Chai' pemilihan Pas mula berkeliaran
Pemilihan jawatan tertinggi PAS semakin hampir membahang apabila wujudnya cakap-cakap di kalangan akar umbi mengenai regu atau 'chai' yang berpontensi menang. Malah, ia dilihat mula diedarkan di laman maya, khususnya di Facebook beberapa hari kebelakangan ini.
Bagi jawatan timbalan presiden, umum melihat wujudnya tiga 'chai'. Kumpulan ulama kali ini dilihat berpecah dua manakala kumpulan profesional teguh di belakang calon timbalan mereka Mohamad Sabu.
Menariknya Nasharudin Mat Isa (penyandang) dan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat percubaan pertamanya ke jawatan itu masing-masing berkongsi chai yang sama.
Sumber-sumber memberitahu, dalam senarai chai yang disebut-sebut, Mohamad Sabu -- yang dilihat keseorangan -- kali ini disokong kuat golongan profesional dari kumpulan Erdogan.
Mohamad digandingkan dengan exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan penyandang naib presiden Datuk Mahfuz Omar.
"Jika perwakilan tidak mahu (memilih) kumpulan ulama, mereka akan memilih tiga tokoh ini," kata mereka kepada Malaysiakini.
Ulama berkongsi chai
Bagi 'chai' Nasharudin dan Tuan Ibrahim pula, sumber-sumber berkata, mereka bergandingan dengan dua tokoh ulama -- ketua penerangan Idris Ahmad, exco kerajaan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah -- bersama-sama penyandangnya Salahudin Ayub.
Menurut sumber-sumber, Salahudin yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan Erdogan digandingkan pula dengan kumpulan itu ekoran pendekatan kempennya yang dilihat 'play safe' dan cuba meraih sokongan kedua-dua pihak.
Pemimpin yang mendokong kepimpinan ulama antaranya anak murysidul am Nik Abduh Nik Aziz, exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hassan Ali dan beberapa pesuruhjaya negeri -- Salleh Man (Pulau Pinang), Zulkefly Mohamad Omar (Negeri Sembilan) dan Dr Mahfodz Mohamed (Johor).
Sehubungan itu, pemerhati politik berpendapat, peluang Nasharudin untuk menang dilihat "luntur" susulan kemasukan Tuan Ibrahim bertanding jawatan nombor dua parti.
Apatah lagi, Tuan Ibrahim yang selebriti agama dan tokoh ulama yang dikatakan sesuai untuk menggantikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di masa depan.
Sementara untuk jawatan naib presiden, walaupun pertembungan dijangka sengit, tetapi Mohammad Nizar dan Idris dilihat agak kedepan buat masa ini.
Mohammad Nizar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Perak berpeluang besar menang kerana cukup populariti dan dianggap 'selebriti' PAS. Manakala "kerajinan" Idris mengeluarkan kenyataan media sejajar tugasnya amat membantu.-Malaysiakini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan