Isnin, 16 Mei 2011

Minyak RON 95 , diesel dah nak naik

Baca betul-betul kenyataan Menteri di bawah tentang kenaikan harga petrol dan diesel yang bakal ditanggung pengguna.Seperti biasa Menteri akan kata minyak kita masih murah , gula kita masih murah jika dibandingkan dengan negara jiran , negara Amerika Latin dan benua Eropah! Kerajaan amat berkira dengan subsidi untuk rakyat tapi bila kerajaan perabih duit rakyat ikut suka itu tak mengapa.Bila harga pasaran minyak dunia turun harga minyak kita tak turun tapi mencacak naik,

Menteri pula tak keluar sebarang kenyataan...tunggu harga minyak dunia naik lagi baru keluar kenyataan untuk naikkan lagi harga minyak.Menteri juga akan kata rakyat kena berjimat cermat jangan makan gula banyak, pakai motosikal jangan pakai kereta.

Tiada jaminan harga petrol kekal
-Sinar Harian

Tiada jaminan harga petrol dan diesel akan kekal pada harga sekarang jika harga bahan bakar itu melonjak di pasaran dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua harga bahan bakar itu iaitu petrol RON95, diesel dan gas LPG akan disemak setiap enam bulan oleh Jawatankuasa Pemandu Rasionalisasi Subsidi Harga Barang Kawalan.

Menurutnya, pada tahun 2010, kerajaan menganggarkan subsidi minyak sebanyak RM14 bilion untuk tahun ini tetapi unjuran itu pula dijangka meningkat kepada RM17 bilion.

“Pada tahun lalu, subsidi minyak ialah RM10.3 bilion. Namun kenaikan harga minyak di pasaran dunia menyebabkan subsidi turut meningkat hampir 70 peratus.

“Sekiranya kerajaan terus menanggung subsidi kenaikan harga bahan itu, ia akan menyebabkan defisit kerajaan semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Bera 2011, dekat sini.

Ismail Sabri berkata, harga minyak RON 95, diesel dan gas LPG akan ditentukan sejurus jawatankuasa bersidang Jun ini.

Ketika diminta mengulas mengani penarikan subsidi harga gula, belia yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan tidak akan berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

Katanya, ini juga bergantung kepada keputusan jawatankuasa berkenaan yang sekiranya memutuskan harga gula dinaikkan 20 sen pada masa akan datang, maka subsidi gula akan dihapuskan.

“Harga gula juga akan disemak pada Disember depan selepas kontrak jangka panjang dengan pembekal gula dari beberapa negara di dunia.

“Jika harga gula di pasaran dunia ketika itu lebih tinggi daripada harga sekarang, kemungkinan kenaikan harga gula boleh berlaku di negara ini. Sebaliknya, jika harganya masih diparas lama harga jualan di pasaran sekarang terus kekal,” kata Ismail Sabri.

Beliau yakin kenaikan harga gula sebanyak 20 sen baru baru ini dapat mengekang penyeludupan gula ke negara Thailand.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan