Khamis, 19 Mei 2011

Ustaz Idris Ahmad turut bertanding Naib Presiden Pas

Daripada 14 orang layak bertanding jawatan naib presiden PAS, hanya Ketua Penerangan Idris Ahmad telah mengesahkan akan turun gelanggang pemilihan parti itu awal bulan depan.

Idris antara muka baru yang layak bertanding jawatan itu selain ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, Bendahari PAS Dr Mohd Hata Rami dan Ketua Penerangan Ulama Nik Zawawi Nik Salleh.

Bagaimanapun Nik Zawawi mengesahkan tidak akan bertanding bagi jawatan itu dengan alasan mahu memberi peluang kepada orang lain.

“Saya tidak akan bertanding, saya rasa masih ramai pemimpin yang lebih baik dan layak daripada saya, lagipun jawatan itu satu amanah dan jawatan yang saya pegang sekarang sudah cukup,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Turut layak adalah ketiga-tiga penyandangnya Datuk Mahfuz Omar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub.

Selain itu, bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu serta Datuk Husam Musa dan Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa juga dicalonkan.

Namun Mohamad dan Nasharudin mengesahkan akan bertanding jawatan nombor dua parti.

Jawatan naib presiden memperuntukkan tiga kerusi.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Idris berkata beliau menerima pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden.

“Ya, saya akan bertanding bagi jawatan naib presiden PAS, saya buat keputusan ini kerana menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan,” jawabnya ringkas.

Sementara itu, ketiga-tiga penyandang naib presiden PAS mengambil pendirian “berdiam diri” sementara waktu sehingga tarikh akhir pengesahan bertanding pada 26 Mei.

“Saya belum buat apa-apa keputusan lagi, masih terlalu awal dan saya menanti surat rasmi daripada jawatankuasa pemilihan dulu.

“Kemudian baru saya akan buat keputusan,” kata Mahfuz.

Salahuddin, yang turut layak bertanding jawatan nombor dua parti berkata, beliau akan melihat jumlah pencalonan sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau juga mengesahkan tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden dengan alasan masih belum layak.

“Saya belum buat apa-apa keputusan lagi, masih terlalu awal . . . saya perlu lihat jumlah pencalonan dulu.

“Ia akan jadi pengukur kepada prestasi saya, kalau jumlah pencalonan memberangsangkan saya akan mempertahankan kedudukan sekarang,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tuan Ibrahim juga mengambil pendirian sama dengan mahu melihat terlebih dahulu jumlah pencalonan yang diterima.

Beliau juga berkata lebih cenderung untuk mempertahankan kedudukan sekarang daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

“Kecenderungan saya lebih untuk mempertahankan jawatan naib presiden daripada bertanding timbalan.

“Apa-apa saya akan lihat dulu jumlah pencalonan, masih terlalu awal untuk saya kata apa pendirian saya,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin lain yang dicalonkan mengambil keputusan untuk berbincang dahulu sebelum menyatakan pendirian masing-masing.

Bagaimanapun usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan respons daripada Husam tidak berhasil.-M'insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan