Isnin, 30 Mei 2011

Pemilihan Pas:Jika sengit laksanakan sistem celup jari

Saya ada tulis dalam posting saya Pas wajib laksana sistem celup jari semasa pemilihan pimpinan tertinggi Pas.Kini Pas mengakui pemilihan kali ini amat sengit dan menarik semua pihak kerana pertembungan antara golongan aliran agama dan bukan aliran agama dalam bertanding jawatan peringkat tertinggi Pas.

Saingan amat sengit tapi perwakilan jangan emosional, nasihat Pengerusi Tetap PAS-M'insider

Seorang pemimpin veteran PAS mengakui ini kali pertama parti itu berhadapan dengan persaingan paling sengit bagi kesemua jawatan utamanya tetapi menasihatkan lebih 1,000 perwakilan agar tidak mengundi “secara emosional” dalam memberikan mandat baru hujung minggu ini.

Pengerusi Tetap PAS Abu Kassim Abdullah berkata, beliau secara peribadi merasakan sukar untuk membuat pilihan calon yang terbaik untuk mengisi kedudukan sama ada bagi jawatan timbalan presiden ataupun naib presiden.

“Ini pandangan peribadi saya... cakap banyak pun susah nanti, dulu sangat jelas, nak pilih tiada masalah. Sekarang nak pangkah mana satu, saya rasa sangat sukar, saya sendiri pun tidak tahu nak pangkah siapa.

“Saya rasa berbanding dengan pemilihan tahun 2009, ini adalah (pemilihan) yang paling sengit, tetapi lebih sengit daripada tahun-tahun lalu,” kata beliau yang memegang jawatan pengerusi tetap sejak 24 tahun lalu.

PAS, yang berusia enam dekad, mengadakan pemilihan dua tahun sekali sempena muktamar tahunan ke-57 di Gombak hujung minggu ini.

Mengulas lanjut mengenai soal “emosional” dalam menentukan undi, Abu Kassim dari Kedah yang menjadi pengerusi tetap sepanjang kepimpinan tiga presiden termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekarang berkata, perwakilan tidak seharusnya terpengaruh dengan kebolehan seseorang “bercakap” atau terpikat dengan “pemberian sesuatu” walaupun bentuk kempen parti itu masih jauh berbeza daripada Umno yang menjalankan kempen secara terbuka dan menggunakan jentera pemilihan yang besar.

“Ya, ya... jangan emosional dalam pilih pemimpin. kena cari pemimpin yang terbaik. Di dalam PAS ini cara berkempen ini berbeza, dia buat secara berbisik-bisik, dalam motokar (kereta), ketika ada kenduri, di kedai-kedai kopi... jadi jangan ada yang terpengaruh kerana pandai bercakap, diberi sesuatu,” kata beliau sambil menegaskan, kesemua calon bagi kerusi timbalan presiden dan naib presiden mempunyai keseimbangan dari segi kekuatan masing-masing.

Mengenai nasihat kepada perwakilan, Abu Kassim berkata, perwakilan perlu memilih timbalan presiden dan naib-naib presiden, malah penyandang jawatan-jawatan lain tanpa dipengaruhi oleh elemen emosi.

Pemilihan juga membabitkan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama.

Sambil menekankan bahawa kesemua calon yang menawarkan diri bertanding atas prinsip kepentingan jemaah dan bukannya kepentingan peribadi, Abdu Kassim menambah, “kalau nak cari kelemahan seseorang calon, memang boleh dipungut (boleh dicari)... jadi bagi saya dari segi kebolehan, saya melihat tiada masalah.”

“Nak kata Nasharudin (timbalan presiden) ada kelemahan, ada kekurangan... tetapi dia juga telah menjalankan tugas dengan baik. Jadi nak cari kelemahan orang pegang jawatan ini boleh, sebab dia (pesaing) belum pegang jawatan lagi,” katanya lagi.

Tiga orang bersaing bagi jawatan timbalan presiden iaitu Nasharudin Mat Isa mempertahankan jawatannya dan beliau disaingi oleh Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad mencuba kali kedua manakala Tuan Ibrahim buat kali pertama.

Enam orang bertanding jawatan naib presiden berbanding lima calon dua tahun lalu. Mereka ialah Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang masing-masing merupakan penyandang, Datuk Husam Musa, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Ditanya mengenai ciri seorang timbalan presiden yang diperlukan kali ini, Abu Kassim berkata, PAS memerlukan penyandang jawatan yang dapat menyediakan sebuah pasukan yang boleh membantu Hadi, selaku presiden, untuk menghadpai pilihan raya umum ke-13.

“Penyandang mestilah seorang yang dapat membantu presiden menyediakan pasukan yang boleh menghadapi pilihan raya umum, dalam beberapa bulan ini dia mampu membantu presiden menghadapi pilihan raya... pilihan raya tak tahu bila mahu diadakan, tetapi orang kata dekat, jadi ada beberapa bulan sahaja lagi,” katanya.

Malah kata beliau, PAS memerlukan kepimpinan yang dapat memperkukuhkan parti dan juga Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-13.

Katanya, Umno-BN akan terus menyerang bagi memastikan PAS dilaga-lagakan dengan DAP dan PKR, yang merupakan anggota komponen Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Abu Kassim menambah, penyokong Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat bahawa untuk memerintah negara ini ketiga-tiga komponen ini perlu sedar bahawa mereka tidak boleh mencapai matlamat itu dengan bertanding atau bergerak secara berasingan. “PAS, kalau hendak memerintah secara berasingan pun, hanya boleh tiga negeri sahaja, begitu juga DAP tiga negeri, dan kalau PKR pun tiga empat negeri.

“Jadi, kita perlukan pemimpin yang boleh memperkukukuhkan kedudukan PAS dan membantu presiden dalam hal ini,” kata beliau sambil menambah, PAS juga memerlukan seseorang pemimpin yang kena yakin pada Islam.

Katanya, jika seseorang itu tidak berlatarbelakangan pendidikan Islam pun tiada masalah, asalkan mereka sanggup belajar dan yakin pada PAS dan Islam.

Baca juga;
Pemilihan Timbalan Presiden Pas-Sinar Harian

1 ulasan:

  1. Jangan sampai pru13 nanti rakyat juga sukar untuk buat pilihan samada pas atau umno sebab lebih kurang sama je...

    Rakyat dah lama meluat dengan umno yang dah confirmed busuk. Lepas tu dengan pkr masa pemilihan baru2 ni. Dan sekarang pas pulak buat perangai hodoh. So, rakyat nak pilih siapa ni? Ahli politik melayu memang macam ni ka?

    BalasPadam