Berita yang diemail ke dalam blog ini tanpa edit;
Pencabulan kepada kebebasan bersuara, melahirkan pendapat dan hak berhimpun di Malaysia saban hari semakin parah. Apa yang berlaku semenjak beberapa hari lepas memperlihatkan ketakutan 'ngeri' pemerintah di Putrajaya. KEADILAN Selangor mushkil, apakah taraf demokrasi di negara ini yang sudahpun satu anak tangga dibawah kedudukan Myanmar mahu di pecah rekodkan dalam 'Malaysian Book of Record, hingga ke taraf Mesir era Hosni Mubarak?
Kes pertama; penjualan baju kuning Bersih 2.0 seolah olah ia dadah larangan setaraf heroin dan kokain!. Seorang pemuda yang berniga baju ini di ceramah JELAS 2- Tawan Malaysia! anjuran Pakatan Rakyat Sepang dihalang menjualnya, malah ditahan dan disoal siasat. Semua penceramah di cari dan di siasat kerana di dakwa menpromosikan Bersih 2.0 yang dikatakan 'haram' diadakan.
Kes kedua; penangkapan beberapa pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda PAS sehari dua ini hanya kerana berpakaian baju T berwarna kuning Bersih 2.0 di Shah Alam dan Klang merupakan satu penghinaan yang maha besar oleh institusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kepada Kedaulatan Undang Undang dalam Rukun Negara. Bahkan penghinaan tanpa selindung kepada Perlembagaan Negara!
Ajaibnya ratusan laporan polis oleh pelbagai pihak keatas video cakera padat karya Dato T disepikan begitu sahaja tanpa apa apa tangkapan selain penayangnya. Amat memalukan negara, 'kepala wayang gambar' ini hanya dikenakan hukuman minima berbanding seorang pemandu bas yang dikenakan penjara tiga tahun. Dunia sedang melihat keadilan 'ala Malaysia'. Kedua dua tindakan itu, samada trio Dato T mahupun pemandu bas adalah salah, namum hukumannya sangat jelas memperlihatkan perbezaan 'antara dua darjat'. Rakyat bertanya, kemana rasa malu rakyat Malaysia hendak di sorok dengan keputusan ini?
Kes ketiga; penahanan 7 orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Johor, 31 orang lagi di Pulau Pinang kerana mengedar risalah berkaitan Bersih 2.0, memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0 dan berhasrat berceramah menerangkan tentang hak serta kebebasan rakyat di kira sudah sama tarafnya dengan gerakan komunis zaman 40an.
Pelek pada rakyat, mereka yang berbaju lengkap di tangkap, manakala yang berbaju sendat dan separuh bogel bebas berjalan kemana mana tanpa seorangpun ulamak UMNO menegur perbuatan itu!
Mengapakah pihak berkenaan rela diperlakukan bagaikan 'gurkha Nepal zaman penjajah' kepada pihak yang berkepentingan sedangkan tugas utama pasukan keselamatan adalah menjaga rakyat? Rakyat berhujah, tindak tanduk polis Malaysia kebelakangan ini tidak ubah seperti polis Israel yang menyekat kebangkitan rakyat Palestin satu ketika dahulu. Pastinya ia adalah mengikut selera pimpinan UMNO BN.
KEADILAN Selangor ingin melihat PDRM maju kehadapan dalam soal membela dan melindungi rakyat. Mana mungkin di zaman globalisasi moden ini apabila cahaya demokrasi sudah mampu terpancar di negara negara yang dahulunya di kuasai oleh individu yang gila kuasa seperti Hosni Mubarak di Mesir dan Zainal Ebidin Ben Ali di Tunisia, rakyat di Malaysia berasakan sedang dimalapkan dalam kegelapan demokrasi akibat tindakan PDRM! - semestinya atas arahan sang penguasa di Putrajaya.
Khayalak teramai rakyat kini tidak lagi dapat menerima peraturan baru 'pengharaman' pemakaian baju T Bersih 2.0! Apakah ini satu jenaka yang cuba di sogok oleh PDRM kepada rakyat? Ingin ditekankan bahawa pencabulan ini mesti di tentang dan dihentikan! Hanya negara kuku besi sahaja yang memaksakan 'peraturan gila' seperti ini!
KEADILAN Selangor juga ingin bertanya mana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam pencabulan ini? Usah dibiarkan hak asasi rakyat 'di pijak hancur sampai lumat' oleh mereka yang berkepentingan! Sewajarnya pihak SUHAKAM melakukan sesuatu jika tidak mahu di lihat bersekongkol.
KEADILAN Selangor menyarankan agar Biro Antarabangsa Parti membawa perkara ini ke pengetahuan mesyarakat antarabangsa sesegera mungkin jika SUHAKAM gagal bertindak.
Kesemua kes yang berlaku menampakkan bahawa 'peraturan' dikuatkuasakan mengikut kehendak UMNO / BN demi kepentingan politik mereka. Alasan 'mengikut arahan' bukan 'undang undang' yang mesti dipatuhi. KEADILAN Selangor akan terus menyokong perhimpuan aman rakyat 9 Julai ini dan akan memastikan mobilisasi 70,000 anggota KEADILAN Selangor ke himpunan Bersih 2.0 berjalan lancar. Pihak berkuasa boleh menahan, boleh menangkap, boleh mendakwa dan penjarakan semua orang kanan Bersih 2.0, namun tiada kuasa yang dapat menyekat semangat dan kebangkitan rakyat!
Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan
KEADILAN Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan