Isnin, 13 Jun 2011

Kalau Umno-BN di pihak rakyat kenapa naikkan tarif elektrik?

Isu IPP:Kami di pihak rakyat, istihar Najib-M'insider

Di sebalik desakan pelbagai pihak khususnya Pakatan Rakyat, Datuk Seri Najib Razak hari ini secara terbuka berkata, pentadbirannya berada di pihak rakyat dalam soal perjanjian belian tenaga dan perkara itu sedang dibincangkan dengan pengeluar tenaga bebas (IPP).

Perdana menteri juga menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa Putrajaya hanya mengutamakan kepentingan IPP memandangkan pihak berkenaan menikmati berbilion ringgit subsidi.

“Buat masa sekarang, IPP . . . kebanyakan formula mereka bukan lagi cenderung satu pihak. Kami sedang mengadakan perundingan dengan IPP tetapi tidak tepat untuk mengatakan kami memihak IPP,” katanya lagi.

“Kami membela rakyat. Kerajaan akan menjelaskan dengan lanjut mengenai IPP sebab kami masih mengadakan perundingan,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Ampang di sini hari ini.

Justeru, presiden Umno itu berkata, kerajaan akan datang dengan satu kenyataan mengenainya tidak lama lagi.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendesak pentadbiran Najib mendedahkan kandungan perjanjian konsesi IPP dengan TNB.

Kenyataan Najib ini muncul beberapa jam selepas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan bahawa Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu IPP dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan.

“Jawatankuasa ini akan berbincang mengenai pelbagai aspek dan bukan masalah IPP semata-mata... antaranya ialah mengenai kos dan soal masa depan kerana terdapat di antara konsesi IPP akan tamat pada 2014 dan 2015.

“Kita turut membincangkan bagaimana untuk berhadapan dengan masalah ini di masa depan,” katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi IPP.

Syarikat-syarikat IPP dikatakan mengaut keuntungan berpuluh kali ganda daripada hasil pembekalan kuasa kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebuah suruhanjaya diraja diperlukan bagi mengkaji konsesi IPP dengan TNB dan juga untuk menentukan kesan sebenar ekoran kenaikan tarif elektrik, diesel, gula dan pemotongan subsidi pada kadar inflasi dan kenaikan harga barangan.

“DAP menyatakan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat kontrak antara TNB dan IPP.

“Suruhanjaya diraja ini akan menentukan sejauh mana perjanjian tersebut memberi beban kepada pengguna berikutan kenaikan tarif elektrik dan memperkenalkan langkah- langkah terbaik bagi mengurangkan atau menghindari beban kewangan yang teruk kepada rakyat,” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.-M'insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan