Selasa, 28 Jun 2011

Kos PM,TPM keluar negara RM25 juta, bil elektrik RM160,000

Lawatan rasmi :Najib , Muhyiddin belanja RM25 juta sejak 2008-M'insider

Jabatan Perdana Menteri mendedahkan Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasangan mereka telah menghabiskan RM25.1 juta bagi tujuan lawatan rasmi ke luar negara sejak 2008 hingga Jun tahun ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Chua Tian Chang (PKR-Batu), daripada jumlah itu Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan RM17,118,650.58 manakala Muhyiddin dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman pula RM8,020,328.07.

Chua telah meminta perdana menteri agar menyenaraikan jumlah kos lawatan rasmi beliau dan timbalannya mengikut tarikh, lokasi dan tujuan dari 2008 hingga 2011.

Malah, beliau juga bertanya butiran perbelanjaan Rosmah sepanjang tempoh itu.

Najib, yang merupakan timbalan perdana menteri pada 2008, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009.

Menurut respons Jabatan Perdana Menteri yang diperoleh hari ini, Najib dan Rosmah telah membelanjakan RM1.7 juta pada 2008, RM4.8 juta (2009), RM5.1 juta (2010) dan RM5.4 juta sehingga Jun tahun ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin dan Norainee telah membelanjakan RM2.7 juta pada 2008, RM609,185 (2009), RM1.38 juta (2010) dan RM3.27 juta sehingga Jun tahun ini.

“Jabatan Perdana Menteri tidak menyediakan sebarang peruntukan khas bagi perbelanjaan isteri perdana menteri. Jabatan hanya membiayai perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri,” kata respons itu.

Bil elektrik PM,TPM-RM160,000 sebulan-M'kini

Kerajaan diminta memberikan penjelasan berhubung kos tinggi penyelenggaraan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya ketika rakyat diseru berjimat cermat berikutan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi barangan keperluan. Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Maria Mahmud berkata ini perlu kerana rakyat diminta mengubah cara hidup mereka bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi sekarang. "Apabila mendidik orang ramai supaya berjimat, ia sepatutnya bermula dengan pemimpin,” kata Siti Maria Mahmud kepada wartawan di lobi parlimen hari ini. Siti Maria mengulas jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung soalan yang diajukan oleh ahli parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga ketua Dewan Muslimat PAS yang ingin tahu penyelenggaran kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya.

Mengikut jawapan bertulis, RM48 juta dibelanjakan antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin negara itu. "Begitu tinggi perbelanjaannya sedangkan kediaman itu tidak digunakan sepenuh masa,” kata Siti Zailah, yang hadir bersama. Menurut jawapan itu, hampir RM33 juta dibelanjakan untuk menyewa kediaman lain semasa tempoh itu. Sewa dibayar kepada Perbadanan Putrajaya. RM3.5 juta lagi dibelanjakan untuk kerja baik pulih, RM10.2 juta bagi bil elektrik dan RM1.9 juta untuk bil air. "Kami tidak tahu sebesar mana keluarga perdana menteri dan timbalannya sehingga hari ini,” kata ketua pemuda DAP Anthony Loke, yang juga hadir pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau jika jumlah itu dibahagikan sepanjang lima tahun dan kira mengikut bulanan, kerajaan membelanjakan RM160,000 untuk bil elektrik dan RM33,000 untuk bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi. "Ini cukup untuk bayar bil elektrik saya untuk selama 100 tahun dan air pula cukup untuk 6,000 orang,” katanya.

Free sheikh, free semua rakyat tanggung satu sen tak keluar duit poket sendiri apa mau kira.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan